
Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das turut mempersoalkan rasional penubuhan dan kesediaan mahkamah khas itu kerana beliau mendakwa tidak banyak kes sedemikian di Malaysia.
“Adakah terlalu banyak kes yang kita tak boleh uruskan di mahkamah biasa sehingga kita perlu menubuhkan mahkamah khas? Setahu saya tak banyak kes (pemerdagangan manusia).
“Ataupun penubuhan mahkamah khas ini adalah satu latihan untuk menunjukkan kepada kerajaan Amerika Syarikat kita ada langkah-langkah yang diambil untuk menaikkan taraf (Malaysia dalam) Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara AS yang akan dikeluarkan pada Jun atau Julai,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Semalam, Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dilaporkan berkata, sebuah mahkamah khas untuk mengendalikan isu pemerdagangan manusia akan ditubuhkan tahun ini bermula di Klang, Selangor.
Katanya, ada keperluan menubuhkan mahkamah khas itu yang akan dikendalikan seorang hakim Mahkamah Sesyen, khusus mendengar dan memutuskan kes berkaitan pemerdagangan manusia berdasarkan statistik yang menunjukkan peningkatan mendadak kes sedemikian.
Tahun lalu, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan dalam Laporan Pemerdagangan Orang yang dikeluarkan Jabatan Negara AS apabila dinaikkan taraf ke Tahap 2 daripada kekal di Tahap 2 Senarai Pemerhatian 2016.
Tahap 2 diberikan kepada negara yang tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang AS 2000, tetapi membuat usaha penting untuk mematuhi standard tersebut.
Malaysia menyasarkan untuk mencapai status Tahap 1 dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2020.
Glorene berkata, penubuhan mahkamah khas itu bukan penyelesaian kepada isu pemerdagangan manusia.
Beliau mendakwa kes pemerdagangan manusia bermula daripada pihak berkuasa sama ada polis atau imigresen dalam mengenal pasti seseorang itu sebagai mangsa pemerdagangan manusia atau sebaliknya.
“Kita ada satu kes di mana seorang pembantu rumah tidak dibayar gaji. Apabila kita rujuk kepada polis dan kata ini kes pemerdagangan manusia sebab gaji tak dibayar 10 bulan, tak diberi cuti dan tiada kontrak yang jelas menunjukkan mangsa dikerjakan untuk tujuan penghambaan dan pemerdagangan manusia.
“Tapi, polis kata ini masalah gaji dan diminta ke Jabatan Buruh (membuat laporan),” katanya.
Bulan lalu, New Straits Times (NST) melaporkan polis melengahkan pengumuman penemuan kubur beramai-ramai milik pendatang asing di Wang Kelian, Perlis pada 2015, serta membersihkan kawasan itu sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah.
Menurut akhbar itu, pelbagai laporan sengaja dicantas dan hasil temubual dengan pelbagai sumber mendapati banyak perkara disorokkan dalam siasatan rasmi.
Pada awal Mei 2015, ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem haram yang dipercayai digunakan sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, sebuah bandar bersempadan Thailand.
Susulan itu, polis Thailand mendakwa 88 orang termasuk seorang jeneral atas tuduhan berhubung kes pemerdagangan manusia, pada Januari 2016.
Malaysia turut menahan 2 rakyat Myanmar pada 2016 dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, SAC Datuk Goh Kok Liang dipetik The Star pada 28 Februari 2016 berkata, polis akan menahan 6 lagi suspek terdiri daripada 5 lelaki dan seorang wanita dipercayai rakyat Myanmar dan warga Thai.
Bagaimanapun, Goh berkata, 6 suspek itu bukan dalang sindiket pemerdagangan manusia, sebaliknya mereka sekadar orang bawahan yang dipercayai pembekal makanan atau penjaga.