PH akan gagal kerana pemimpin mereka ghairah kuasa, kata menteri Sabah

PH akan gagal kerana pemimpin mereka ghairah kuasa, kata menteri Sabah

Menteri tugas-tugas khas Sabah Teo Chee Kang berkata mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM bukti gabungan itu tiada pemimpin lain yang layak dalam kalangan mereka.

Teo-Chee-Kang-pakatan-harapan-konvensyen-malaysia
KOTA KINABALU: Gabungan Pakatan Harapan akan gagal seperti apa yang berlaku pada Pakatan Rakyat, kata seorang menteri Sabah.

Menteri Tugas-tugas Khas Sabah Datuk Seri Teo Chee Kang berkata satu-satunya perkara yang melekatkan parti-parti dalam gabungan itu ialah keghairahan untuk berkuasa.

Beliau berkata keghairahan itu akan terurai kerana perasaan curiga sesama mereka dan konflik ideologi dalam pakatan politik itu.

“Menamakan Dr Mahathir Mohamad yang berusia 92 tahun sebagai calon perdana menteri mengesahkan mereka tidak ada pemimpin yang layak untuk mengemudi negara.

“Sama ada Mahathir perdana menteri sementara atau tidak, sama ada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan peroleh pengampunan diraja dan jadi perdana menteri ke-8 atau tidak, Pakatan Harapan memberitahu rakyat bahawa mereka hanya mampu tawarkan pemimpin tua yang dikitar semula.

“Jadi, bagaimana orang mahu percaya mereka mampu membawa Malaysia ke masa depan?” kata Teo dalam kenyataan.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) takjub melihat pemimpin PKR dan DAP tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan menyokong Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata mereka itulah yang sebelum ini menyerang Dr Mahathir sebagai individu yang mendalangi Projek IC di Sabah, Operasi Lalang, skandal tukaran mata wang asing Bank Negara Malaysia, krisis kehakiman selepas pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan banyak lagi.

“Saya tertanya-tanya tidakkah hati mereka meronta-meronta apabila mereka memuji-muji seseorang yang sekian lama menjadi musuh mereka,” katanya.

Pada Ahad di konvensyen gabungan, Ketua Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri tetapi keputusan itu dicemuh para pemimpin BN.

Pemimpin seperti Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun berkata keputusan itu membuktikan Mahathirisme masih hidup dalam kalangan pembangkang.

Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Ramlee Marahaban berkata matlamat Dr Mahathir ialah menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, perdana menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.