Isu tanah Felda: Polis serah laporan penuh pada peguam negara minggu depan

Isu tanah Felda: Polis serah laporan penuh pada peguam negara minggu depan

KPN berkata walaupun siasatan masih dijalankan, tetapi polis yakin siasatan akan selesai minggu depan.

fuzi-tanah-felda
KUALA LUMPUR: Polis berkata akan menyerahkan kertas siasatan penuh berhubung isu tanah Felda di Jalan Semarak kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada minggu depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata walaupun siasatan masih dijalankan, tetapi polis yakin siasatan akan selesai minggu depan.

“Siasatan masih dijalankan. Kita jangka akan hantar minggu depan kepada peguam negara.

“Tetapi saya tidak boleh beritahu lebih lanjut kepada media berapa peratus siasatan telah dijalankan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat baharu seketeriat Aseanpol di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat.

Minggu lalu, bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad dilaporkan selesai memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selepas lebih 5 jam disoal siasat.

Isa dipanggil polis selepas media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM270 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Isa dilantik sebagai pengerusi Felda mulai Januari 2011 hingga Januari 2017; pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai Januari 2011 hingga Jun 2017 serta pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada Julai 2013 sehingga Ogos 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.