Pelihara Felda, jangan jadikan harta sendiri, pesan bekas pengerusi

Pelihara Felda, jangan jadikan harta sendiri, pesan bekas pengerusi

Mohd Yusof Noor berkata, Felda merupakan antara sumbangan terbesar perdana menteri ke-2 itu kepada masyarakat dan warisan yang mempunyai legasi sangat istimewa serta perlu terus dipelihara.

Mohd-Yusof-Noor-felda-jalan-semarak
PUTRAJAYA: Tun Abdul Razak Hussein yang mengilhamkan tanah rancangan Felda lebih 50 tahun lalu, pasti terkejut melihat perubahan dialami agensi itu ketika ini, khasnya selepas isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, kata Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Bekas pengerusi Felda itu berkata, Felda merupakan antara sumbangan terbesar perdana menteri ke-2 merangkap bapa Datuk Seri Najib Razak kepada masyarakat dan warisan yang mempunyai legasi sangat istimewa serta perlu terus dipelihara.

“Kita dapat lihat hutan bertukar menjadi bandar-bandar baru, negara lain tidak ada macam itu. Ia adalah hasil visi Tun Razak yang paling besar.

“Ini adalah warisan yang kalau boleh kita pelihara macam anak kandung betul. Jangan anggap ini (Felda) sama seperti hartanah yang dimiliki individu. Ini adalah hartanah negara dan hasrat pemimpin yang kita kena pelihara 100%.

“Kalau boleh, duit kita pun kena nak bagi lagi, jangan usik hak dia (Felda),” katanya sewaktu ditemui pada Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam, hari ini.

Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad dilaporkan mengakui berlaku transaksi tanah itu yang dianggarkan bernilai RM270 juta, tetapi Felda tidak mendapat sesen pun kerana tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.

Akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam 4 perjanjian jual beli tanah antara Felda dan Synergy Promenade.

Pada 13 Disember lalu, polis mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes itu dan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman, pada 4 dan 5 Januari lalu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk penipuan dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta, serta Seksyen 471 akta sama menggunakan dokumen palsu sebagai tulen.

Mengulas lanjut, Yusof berharap rakyat dan peneroka Felda terus memberi kepercayaan kepada Shahrir.

“Zaman saya sudah habis. Kita beri kepercayaan kepada orang baru. Felda ini satu warisan yang mempunyai legasi yang sangat istimewa, memang perlu dijaga supaya tidak menghampakan harapan banyak pihak.

“Banyak yang perlu dibuat dan eloklah semua pihak berikan kerjasama untuk memperbaiki sekiranya ada kekurangan,” katanya yang pernah bersama Felda selama 9 tahun setengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.