
Akhbar Al-Quds Al-Arabi yang berpangkalan di London melaporan Ahmadinejad ditahan selepas membuat komen semasa tunjuk perasaan pada 28 Disember di bandar Bushehr di barat Iran.
Ahmadinejad, yang kini menjalani tahanan rumah dengan kelulusan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, mengkritik rejim Presiden Iran Hassan Rouhani.
“Beberapa pemimpin sekarang hidup berasingan daripada masalah dan kebimbangan rakyat, dan tidak tahu apa-apa tentang realiti masyarakat,” kata Ahmadinejad menurut laporan itu.
Beliau juga menuduh kerajaan “salah urus” dan mengkritik Rouhani kerana mempercayai “mereka memiliki tanah itu dan rakyat adalah masyarakat yang jahil.”
Berita penahanan Ahmadinejad, 61, yang berkhidmat sebagai presiden antara 2005 hingga 2013, tersebar selepas Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) semalam berkata demonstrasi telah berakhir dan sekali lagi menyalahkan keganasan itu pada Amerika Syarikat (AS), Britain dan Israel.
“Rakyat revolusi Iran, bersama-sama puluhan ribu tentera Basij, polis dan Kementerian Perisikan memecahkan rantaian (kekacauan),” kata IRGC dalam kenyataan.
Walaupun perisytiharan diumumkan, kekacauan masih berterusan.
Tunjuk perasaan meletus pada 28 Disember membantah kos makanan yang melambung tinggi dan akhirnya bertukar menjadi bantahan terhadap ulama pemerintah dan kekurangan sokongan kerajaan kepada golongan pekerja Iran.
Ketidakpuasan hati mula merebak di seluruh negara dan menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 22 orang dan penangkapan beribu-ribu yang lain, menurut kerajaan.
Tetapi pembangkang politik berkata angka kematian hampir 50.
Tunjuk perasaan itu adalah yang terbesar di Iran sejak 2009, apabila orang ramai mencabar pemilihan semula Ahmadinejad, yang mempercayai ia satu penipuan.
Khamenei menggunakan IRGC dan pasukan keselamatan lain untuk mematahkan tunjuk perasaan secara ganas.