Isu tanah Felda: SPRM akan ambil tindakan jika wujud unsur rasuah

Isu tanah Felda: SPRM akan ambil tindakan jika wujud unsur rasuah

Ketua pesuruhjaya SPRM itu berkata, kes itu sedang disiasat polis memandangkan orang ramai membuat laporan kepada pasukan keselamatan itu, bukannya SPRM.

SPRM-akan-ambil-tindakan-jika-wujud-unsur-rasuah
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil tindakan jika hasil siasatan polis mendapati kes pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak mengandungi unsur rasuah atau salah guna kuasa, kata Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Ketua pesuruhjaya itu berkata, kes itu sedang disiasat polis memandangkan orang ramai membuat laporan kepada pasukan keselamatan itu, bukannya SPRM.

“Yang dibuat (laporan) kepada pihak polis. Jadi terserahlah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Tapi sekiranya siasatan tersebut ada isu-isu, unsur-unsur rasuah (atau) salahguna kuasa di bawah bidang kuasa SPRM, kita tiada masalah untuk mengambil tindakan,” katanya selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah Pegawai Kemajuan Perkampungan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di Wisma MCA hari ini.

Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Polis turut menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat isu itu.

Semalam, bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman berhubung isu terbabit.

Dalam perkembangan lain, Dzulkifli turut ditanya mengenai penahanan Naib Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Peter Anthony bagi membantu siasatan kes pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai kira-kira RM155 juta di Tongod, Sabah.

“Tunggulah. Itu pun baru kita tangkap, reman dalam proses siasatan. Jadi, kita tunggulah.”

Katanya, SPRM sedang mengesan lokasi seorang peguam yang disyaki terbabit dalam isu itu, Michael Persius Ubu sama ada beliau berada dalam negara atau luar negara.

“Yang peguam seorang itu kita tak dapat tahu di mana. Setakat ini, kita tidak dihubungi oleh beliau, kita pun tak tahu di mana.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.