PKR dan PAS akui sukar tawan semula Kuala Selangor

PKR dan PAS akui sukar tawan semula Kuala Selangor

Kuala Selangor yang pernah disandang Dzulkefly Ahmad ketika bersama PAS merupakan antara kerusi yang bakal menyaksikan pertandingan 3 penjuru.

S.-Manikavasagam-kuala-selangor
PETALING JAYA: Pada pilihan raya umum lalu, calon PAS Dr Dzulkefly Ahmad gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya di Kuala Selangor pada 2008, apabila Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) menang dengan hanya majoriti 460.

Sejak itu, pelbagai perubahan berlaku dalam lanskap politik Malaysia. PAS tidak lagi bersama PKR dan DAP. Malah Pakatan Rakyat juga sudah terkubur. Umno mula berpecah dengan tertubuhnya PPBM.

Sebelum itu, PAS juga melalui krisis, dan hasilnya, Amanah terbentuk, di mana Dzulkefly merupakan salah seorang pemimpin pengasas. Amanah kini bersama PKR, DAP dan PPBM dalam Pakatan Harapan, gabungan yang dimusuhi PAS.

Adakah permusuhan ini memberi kelebihan kepada BN di Kuala Selangor pada pilihan raya akan datang?

Keadaannya sudah berbeza, dan kesulitan yang bakal dihadapi Dzulkefly diakui PKR Kuala Selangor.

“Kita ada masalah di Kuala Selangor ekoran perpecahan Amanah dan PAS, namun apa yang saya lihat kini Dzulkefly sedang bekerja keras,” kata Ketua Cabang PKR Kuala Selangor S. Manikavasagam.

Manikavasagam bersetuju kerusi Kuala Selangor itu ditandingi Amanah, memandangkan gerak kerja yang dilakukan Dzulkefly sejak awal.

Manikavasagam sendiri bertanding pada pilihan raya 2013 di kerusi DUN Bukit Melawati di bawah Kuala Selangor, tetapi tewas tipis kepada Jakiran Jacomah dengan 806 undi.

Kuala Selangor dengan pengundi berdaftar 62,298 orang (setakat 2013) merupakan kawasan separa bandar majoriti Melayu, dengan bilangan besar pengundi India.

PAS yang selama ini tidak menolak kemungkinan bertanding melawan BN dan Pakatan Harapan, turut mengakui kesulitan untuk menang di Kuala Selangor.

“Kalau 3 penjuru, mungkin agak tipis pada PAS tetapi kita tidak lihat ia sebagai suatu isu kerana Umno di sini juga ada isu,” kata Ketua Pemuda PAS Kuala Selangor, Ahmad Hakimi Othman, kepada FMT.

Sekiranya PAS turut meletakkan calonnya, ia merupakan kali pertama pertandingan 3 penjuru berlaku sejak pilihan raya 2008 di mana pembangkang mencapai persefahaman “satu lawan satu” menentang BN.

Antara nama calon yang dipertimbangkan PAS ialah ketua PAS Kuala Selangor, Muhammad Rashid Muhammad Kassim.

Rashid merupakan penyelaras DUN di kawasan Jeram yang terletak di bawah Adun Jeram dari BN, Datuk Amiruddin Setro.

Menurut Ahmad Hakimi, salah satu punca Dzulkefly tewas pada 2013 ialah undi golongan muda di Jeram.

“Ada janji pada orang muda yang Dzulkefly tidak tunaikan dan itu juga adalah salah satu punca kekalahannya pada PRU13. Ada penolakan dalaman berlaku di kawasan Jeram,” katanya tanpa memberikan butiran.

Ahmad Hakimi berkata kelemahan sama diulangi Irmohizam kali ini, dengan mendakwa beliau hanya turun padang “di sesetengah kawasan dan meminggirkan sesetengah kawasan”.

“Dia hanya turun padang di kawasan kampung-kampung tetapi tidak di kawasan Puncak Alam yang juga dalam kawasan Parlimen Kuala Selangor,” katanya.

Menurut Manikavasagam, peruntukan RM1 juta setahun untuk setiap ahli Parlimen tidak digunakan sepenuhnya oleh Irmohizam untuk membantu rakyat-rakyat berpendapatan rendah dah hidup dalam kesusahan.

“Banyak benda dia boleh lakukan tetapi saya tidak nampak apa-apa pun,” katanya.

Dakwaan itu ditolak Irmohizam.

“Boleh dikatakan setiap hari saya berada di kawasan, kerana kebanyakan mereka adalah yang saya kenal sejak kecil, sudah tentu mereka manja dengan saya sebagai anak tempatan,” katanya kepada FMT.

Irmohizam berkata sokongan untuknya semakin meningkat, sambil berkata banyak janji BN di peringkat pusat sudah ditunaikan.

Namun, beliau mengakui kos sara hidup sebagai satu perkara utama pad pilihan raya akan datang.

“Kos sara hidup antara agenda utama untuk dibangkitkan khususnya bagi memastikan kebajikan rakyat Selangor terbela,” katanya.

Dzulkefly enggan mengulas ketika dihubungi.

Pilihan raya umum ke-14 mesti diadakan menjelang pertengahan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.