Zuraida sedia pindah dari Ampang untuk lawan PAS

Zuraida sedia pindah dari Ampang untuk lawan PAS

Ketua Wanita PKR itu dikhabarkan akan ditempatkan di Hulu Langat.

zuraida-pas
PETALING JAYA:
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin bersedia untuk dipindahkan dari kerusi Ampang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, selepas spekulasi beliau akan bertanding di Hulu Langat, yang kini diwakili PAS.

“Saya bersedia untuk kemana-mana saja dan saya juga berasal dari Kajang,” katanya kepada FMT.

Kajang merupakan kerusi DUN di bawah Hulu Langat. Kerusi itu diwakili Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Zuraida berkata walaupun kerusi Hulu Langat dimenangi PAS dengan majoriti agak selesa, iaitu lebih 17,000 pada 2013, beliau yakin PKR akan menjadi pilihan pengundi di situ.

Hulu Langat mempunyai pecahan kaum yang seakan-akan mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.

Dengan lebih 127,000 pengundi, kaum Melayu mewakili 53% daripada keseluruhan pengundi, Cina 34% dan India 11%.

Zuraida berkata ia memberi kelebihan kepada PKR walaupun terpaksa bertembung 3 penjuru dengan PAS dan Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin PKR mampu mengatasi pertembungan 3 penjuru atas dasar parti berbilang kaum di samping persiapan jentera yang mantap.”

Zuraida berkata BN lemah di Selangor, manakala sokongan kepada PAS hanya tertumpu kepada ahlinya sahaja.

Sebelum ini, timbul spekulasi Zuraida akan dipindahkan ke Hulu Langat, manakala Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula ke Shah Alam.

Zuraida merupakan penyandang kerusi Parlimen Ampang buat kali kedua, selepas menang pada 2008 dan 2013.

Bagaimanapun, Hulu Langat turut menarik minat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia merupakan antara 3 kerusi di Selangor yang mahu ditandingi PSM yang bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) itu.

Bagaimanapun, PSM berkata ia sedia berunding dengan PH mengenainya, dan kemungkinan perlawanan 4 penjuru berlaku adalah tipis walaupun tidak boleh ditolak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.