
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, sektor utama yang terjejas ialah perkilangan, diikuti sektor perkhidmatan seperti insurans, perbankan dan peruncitan, serta pembinaan.
Beliau berkata, antara faktornya adalah levi yang dikenakan kepada majikan mengambil pekerja asing dan pengenalan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).
“Peningkatan jumlah cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari serta kemungkinan cuti paterniti juga menjadi faktor,” katanya.
Shamsuddin berkata, penggunaan teknologi komputer juga menjadi faktor kehilangan pekerjaan tahun ini apabila semakin banyak syarikat beralih kepada automasi, penggunaan robotik dan teknologi maklumat.
Keadaan itu menyebabkan 18,000 pekerja hilang pekerjaan apabila institusi perbankan beralih kepada teknologi maklumat pada 2016.
Beliau menjangkakan industri insurans akan mengikut jejak bank dan menyebabkan pekerjanya berdepan nasib sama.
“Syarikat multinasional yang terlibat dalam industri berintensifkan tenaga buruh meninggalkan Malaysia kerana upah lebih tinggi di negara ini.
“Mereka berpindah ke negara dengan kos buruh lebih rendah dan menarik serta tiada kos sosial tinggi,” katanya dengan memberi contoh Kemboja dan Laos yang upahnya di bawah AS$100 (RM402) sebulan berbanding kira-kira AS$250 (RM1,005) di negara ini.
Shamsuddin berkata, semakan semula terhadap kadar gaji minimum pada Julai nanti turut memberi impak kepada majikan.
“Dengan menaikkan umur persaraan, mereka yang sepatutnya bersara pada 2013 akan berbuat demikian tahun ini.
“Tetapi, ini mungkin tidak membuka pasaran buruh kerana sesetengah majikan mungkin tidak mahu menanggung kos tambahan dengan menggantikan mereka yang bersara,” katanya.
Seramai 37,699 pekerja tempatan diberhentikan pada 2016 berbanding 38,499 orang pada 2015.
Setakat September 2017, seramai 30,700 rakyat Malaysia hilang punca pendapatan.