
Anwar berkata ia penting untuk menjamin keseimbangan kuasa di antara kerajaan dan raja-raja di bawah perlembagaan.
“Ia juga akan memelihara dan mempertahan peranan dan kedudukan Raja-Raja Melayu dan integriti institusi raja berperlembagaan.
“Raja-Raja Melayu memainkan peranan penting dalam memastikan pihak eksekutif tidak menyalahguna demokrasi dan kerangka perlembagaan negara,” kata ketua umum Pakatan Harapan itu dalam kenyataan.
Menurutnya, kerajaan tidak mengendahkan kebimbangan raja-raja mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang diwartakan secara automatik tanpa perkenan Agong.
“Insiden seperti ini belum pernah terjadi dan menjadi bukti betapa perlunya perkenan diraja dijadikan keperluan mandatori semula sebelum sesebuah rang undang-undang itu menjadi akta,” kata Anwar.
Majlis Raja-raja pernah meminta beberapa peruntukan dalam rang undang-undang itu diperhalusi, namun ia diwartakan tanpa mendapat perkenan Agong.
Akta yang berkuat kuasa 1 Ogos 2016 itu membolehkan perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.
Pada 2 Janurari, Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan supaya Seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994, Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 dan Seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 diisytiharkan tidak sah, bagi mengembalikan kuasa Agong.