
Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, BN dijangka boleh menang mudah di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berbanding hanya 12 kerusi yang dimenangi pada PRU lalu, manakala DAP boleh memenangi 15 kerusi, PKR (12) dan PAS (9).
“Apa yang saya sebutkan adalah berdasarkan data undian pada pilihan raya umum ke-13. Atas kertas, gambarannya BN akan dapat manfaat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat IDE, hari ini.
Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM mempunyai 29 adun di Selangor, PAS (13 adun) dan BN (12 adun), 2 lagi wakil rakyat bebas.
Redzuan berkata, kajian itu hanya memfokuskan pertandingan satu lawan satu, bukannya kemungkinan berlaku pertandingan 3 penjuru.
“Dapatan ini adalah berdasarkan pertandingan 2 penjuru. Kalau 2 penjuru tidak boleh menang, maknanya jawab sendirilah.
“Kalau 2 penjuru sudah ‘handicap’, apatah lagi 3 penjuru. Maknanya, pembangkang perlu mencari alternatif lain. Ia sudah menunjukkan ‘disadvantage’ kepada mereka.”
Bagaimanapun, beliau mengakui ada banyak faktor lain yang akan mempengaruhi keputusan PRU14.
“Pilihan raya ini banyak pembolehubahnya. Dinamik sekarang ini tidak sama seperti dinamik pada 2013. Pada 2013, tidak ada isu 1MDB dan GST.
“Kini, 1MDB dan GST sudah ada, dinamik sekarang, suasananya sudah berubah. Tidak semestinya corak itu akan menjadi realiti sepenuhnya.”
BN tewas kepada Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS pada PRU12 dengan hanya memenangi 20 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan di Selangor.
Pakatan Rakyat berjaya meneruskan penguasaan di Selangor pada PRU13 dengan majoriti 2/3 di DUN, selepas memenangi 44 daripada 56 kerusi pada 2013, ini bermakna BN kehilangan tambahan 8 kerusi berbanding PRU12.