Pasangan minta maaf kepada BN kerana video jambatan rosak

Pasangan minta maaf kepada BN kerana video jambatan rosak

Siti Zaharah memohon maaf kepada Adun Jelai, Wan Rosdy Wan Ismail selepas mendapat tahu jambatan baharu akan dibina pada 8 Januari ini.

jambatan-gantung-melintas
PETALING JAYA: Sepasang suami isteri terpaksa memohon maaf kepada Adun Barisan Nasional dari Jelai, dekat Lipis di Pahang, selepas klip video menunjukkan anaknya meredah sebatang jambatan usang menjadi viral.

Siti Zaharah Othman, 33, merakamkan video suaminya, Abdul Jalil Sulaiman, 41, membawa anak mereka berusia 5 tahun, Lutfil Hadi menyeberang jambatan gantung rosak di Kampung Pamah Aur, Bukit Bentong, Lipis untuk memasuki prasekolah di Sekolah Kebangsaan Batu Yon, pagi tadi.

“Anak emak bersemangat dah nak ke sekolah tapi kena harungi jambatan yang canggih ini. Dah setahun tak ada perubahan langsung. Jambatan gantung di Pamah Aur, Bukit Betong, Kuala Lipis,” kata kapsyen video itu.

Setakat berita ini ditulis, video yang dimuatnaik Siti ke Facebooknya ditonton 1.2 juta kali dan dikongsi 33,000 kali dalam tempoh 8 jam.

Pengguna media sosial marah menonton video lelaki dan kanak-kanak kecil melintas sisi jambatan berbahaya itu, mendesak kerajaan bertindak segera sebelum jambatan itu meragut nyawa dan ada yang mengkritik tindakan ibu bapa menggunakan jambatan berbahaya itu.

Jalil memberitahu Bernama, penduduk kampung sering menggunakan jalan itu kerana mereka mengambil masa tidak sampai 10 minit untuk ke Bukit Betong berbanding 40 minit menggunakan jalan raya.

“Pagi tadi saya ingin hantar anak lelaki saya itu ke prasekolah, tetapi jalan raya yang menghubungkan kampung ini dengan sekolah itu dinaiki air sebab banjir, jadi saya ambil keputusan untuk menggunakan jambatan yang telah genap setahun runtuh itu,” katanya yang mempunyai 5 anak berusia 4 hingga 11 tahun.

Siti kemudiannya memuatnaik status baharu di Facebook memaklumkan Adun Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sudah bertemu mereka dan menjelaskan status jambatan itu dan jambatan baharu yang akan dibina pada 8 Januari ini.

Siti berterima kasih kepada wakil rakyat itu dan memohon maaf kepada Wan Rosdy kerana memuatnaik video itu.

Dalam satu lagi video yang dimuatnaik di Facebook “Friends of PDRM”, Wan Rosdy berkata video itu sebenarnya “salah faham”.

“Sebab ada laluan alternatif tapi sebab banjir jadi jalan tersebut tidak boleh dilalui. Kita juga ada sediakan bot JKKK sebagai pilihan tapi takpalah ini mungkin semangat ibu nak hantar anak ke sekolah…saya tidak tahulah apa sebenarnya…tapi perkara ini dapat diselesaikan.”

Beliau berkata jambatan baharu sudah dirancang namun tertakluk kepada keadaan cuaca.

“Saya ucapkan terima kasih kerana dapat berbincang seperti keluarga dan saya menasihatkan saudara Jalil (suami) untuk utamakan keselamatan.”

Wan Rosdy dipetik Bernama sebagai berkata, Jabatan Kerja Raya meluluskan permohonan membaik pulih jambatan itu pada 21 Disember lalu dengan peruntukan sebanyak RM462,414,40. Kerja baik pulih itu akan dimulakan Isnin depan.

Beliau meminta penduduk menemui JKKK atau penghulu untuk menyuarakan masalah dihadapi mereka supaya tindakan lanjut dapat diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.