
Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan berkata walaupun partinya dianggap hanya mampu menarik sokongan golongan miskin, ia berjaya menembusi golongan pertengahan di Subang.
“Kita pernah menangani isu miskin bandar dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Subang,” katanya.
Sivarajan menyenaraikan kempen pilihan raya PBT, membantu penduduk memberi maklum balas tentang belanjawan PBT, mengadakan pertemuan dengan Prasarana semasa pembinaan Transit Aliran Massa (MRT), dan berkempen memelihara hutan Kota Damansara daripada pembangunan.
“Semasa pengerusi kami, Nasir Hashim, berkhidmat sebagai Adun Kota Damansara, kita ada 2 ahli majlis dari kawasannya, jadi kami biasa dengan isu-isu itu.”
Pada PRU lalu, Nasir bertanding kali kedua di bawah tiket PKR di kerusi Kota Damansara tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Halimaton Saadiah Bohan. Kekalahan itu umumnya dikaitkan dengan keputusan PAS untuk turut meletakkan calonnya, yang menyebabkan pecahan undi pembangkang.
Pada PRU sebelumnya pada 2008, Nasir menang 52.38% daripada undi menentang calon BN, Datuk Zein Isma Ismail.
Bagi kerusi Parlimen Subang, Nasir hanya bertanding untuk kerusi itu pada PRU 2004 menggunakan lambang PKR dan tewas di tangan calon BN, K. S. Nijhar, yang meraih 65% daripada undi.
Kerusi tersebut ditawan Sivarasa Rasiah dari PKR dalam 2 pilihan raya umum seterusnya.
Sivarajan bagaimanapun berkata tidak wajar membandingkan apa yang berlaku pada PRU yang lepas.
“Pada 2004, pembangkang mengalami masalah di banyak kawasan. Gelombang perubahan hanya tiba pada 2008.
“PSM banyak melakukan kerja di Subang sejak 1999 lagi. Kita bukan orang asing di Subang.”
Sivarasa mengingatkan rancangan Pakatan Harapan (PH) untuk menyingkirkan BN melalui pertandingan 1 lawan 1.
“Itu yang pengundi mahu pada hari PRU14,” katanya.
“Oleh itu, kita akan teruskan perbincangan dengan PSM dan parti berkaitan lain tentang cara bagaimana mencapai hasil itu.”
PH menggabungkan PKR, DAP, Amanah dan PPBM.