Hampir 100% tanah disewakan, PKFZ catat rekod pendapatan RM78 juta

Hampir 100% tanah disewakan, PKFZ catat rekod pendapatan RM78 juta

Pengerusi PKFZ berkata, ketika memulakan operasi pada 2007, pendapatan PKFZ hanya sebanyak RM3.7 juta, sebelum jumlah itu meningkat kepada RM39.43 juta pada 2012 dan kini RM78.23 juta.

Tan-Chong-Seng-port-klang
PETALING JAYA:
Selepas berakhirnya skandal penipuan, nasib Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kini berubah dengan hampir 100% tanah kosongnya disewakan dan pendapatan tahun ini mencatat rekod RM78.23 juta.

Malah, Sin Chew Daily melaporkan tanah kosong terakhir seluas 2.5 ekar menjadi rebutan 15 syarikat.

Pengerusi PKFZ, Datuk Tan Chong Seng dipetik akhbar itu semalam berkata, ketika memulakan operasi pada 2007, pendapatan PKFZ hanya sebanyak RM3.7 juta, sebelum jumlah itu meningkat kepada RM39.43 juta pada 2012.

Katanya, 5 tahun seterusnya, ia terus mencecah pertumbuhan 8 angka dan kadar pertumbuhan tahun ini meningkat 10% berbanding 2016, manakala 2018 diunjurkan mencapai RM85 juta.

Beliau berkata, kadar sewaan tanah kosong di PKFZ pada 2007 hanya 3% atau 81 ekar berbanding hampir 100% ketika ini.

Tan berkata, PKFZ turut mempunyai prestasi memberangsangkan dari segi logistik di mana 202,330 unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) dikendalikan tahun ini.

Katanya, PKFZ kini mempunyai 52 pelabur asing yang terbabit dalam 71 projek dengan 48 daripadanya sudah siap, 19 projek masih dijalankan dan 4 lagi akan bermula tahun depan.

Beliau memberi contoh Bursa Logam London (LME) yang mempunyai 3 tumpuan di Asia Tenggara, iaitu Singapura, Pasir Gudang di Johor dan PKFZ, tetapi jumlah pengendalian kargo di PKFZ paling banyak, melepasi Singapura.

“Ini menunjukkan PKFZ mempunyai daya saing dan mendapat perhatian pelabur asing untuk menarik mereka menyewa tanah di sini.”

Tan berkata, di bawah usaha Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, syarikat perkapalan besar seperti Evergreen Marine Corp, Cosco Shipping, Maersk dan Hapag-Lloyd dari Jerman terus berlabuh di Pelabuhan Klang.

Katanya, sejajar inisiatif “China Belt and Road”, Malaysia dan Beijing membentuk Perikatan Pelabuhan China-Malaysia (CMPA) membabitkan 9 pelabuhan di Malaysia dan 12 pelabuhan di China yang memperkukuhkan lagi kerjasama pelabuhan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, PKFZ yang mempunyai keluasan 1,000 ekar memerlukan tanah baharu untuk dijadikan zon bebas baharu disebabkan keluasan ketika ini lebih kecil daripada zon bebas pelabuhan lain.

Sehubungan itu, katanya, lembaga pengarah sudah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk menjadikan 3,000 hingga 4,000 ekar tanah di Pulau Carey sebagai PKFZ2.

“Kami berharap Kementerian Pengangkutan ketika membangunkan pelabuhan ketiga di Klang, boleh memasukkan PKFZ2.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.