
Sumber yang dipetik Berita Harian berkata, Synergy Promenade ialah syarikat hiasan dalaman yang dikatakan pernah mendapat projek di Menara Felda dan Istana Negara, tetapi tiada pengalaman dalam melaksanakan sebarang projek pembangunan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kelayakan syarikat itu membangunkan projek KLVC yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM6 bilion dan kenapa ia mengambil alih tanah dianggarkan bernilai kira-kira RM1 bilion itu.
“Sebenarnya, tiada sebab yang memerlukan tanah itu dipindah milik kepada Synergy Promenade. Ketika itu, ia memegang surat kuasa wakil penuh (PA), syarikat itu sudah mempunyai kuasa secukupnya untuk melaksanakan kerja pembangunan bagi pihak Felda.
“Synergy Promenade memegang PA hanya sebagai ejen dan Felda adalah prinsipal supaya ia boleh mendapat kebenaran merancang (DO). Jadi, apakah sebab syarikat itu mahu memindah milik tanah itu kepadanya,” soal sumber itu.
Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.
Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.
Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.
Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.
Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mengakui berlaku transaksi tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta, tetapi Felda tidak mendapat sesen pun kerana tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.
Katanya, beliau hanya sedar mengenai pemindahan hak milik tanah itu pada akhir Januari lalu ketika Jabatan Pengurusan Felda memaklumkan 3 perjanjian jual beli tanah terbabit.
Sabtu lalu, akhbar itu melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada harga jualan RM270 juta dalam 4 perjanjian jual beli tanah antara Felda dan Synergy Promenade.
Sementara itu, hasil pemeriksaan Berita Harian mendapati Synergy Promenade didaftarkan pada 16 Jun 2000 sebagai pemaju hartanah, kontraktor binaan dan am serta menjalankan perniagaan am. Dua pengarahnya adalah Noraini Soltan serta Abd Rahman Soltan yang beralamat di Shah Alam.
Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai projek pembangunan yang pernah dilaksanakan Synergy Promenade.
Sumber yang dipetik akhbar itu turut mengesyaki Synergy Promenade mempunyai hubungan meragukan dengan Pejabat Tanah Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyebabkan ia diberikan taraf “Plot Ratio 10 – kelulusan segera DO”.
Beliau berkata, persoalan sekarang ialah jika pihak yang memberikan PA bersalah atau Synergy Promenade menyalahgunakan PA itu.
Katanya, paling penting ketika ini ialah menarik balik PA itu dan mendakwa Synergy Promenade terbabit dalam penipuan kerana tindakan mereka bercanggah tanggungjawab pemaju induk.
“Ia tidak boleh membaca kuasanya di bawah PA begitu sahaja, perlu juga membaca perjanjian pembangunan bersama FIC (Felda Investment Corporation Sdn Bhd).
“Di dalam perjanjian, ia perlu menyerahkan unit yang sudah disiapkan, terbabit dengan proses pemindahan, penjualan dan sebagainya. Bukan diambil tanah itu,” kata sumber itu.
Seorang lagi sumber dipetik akhbar itu menyangkal Rahman mempunyai kaitan dengan Datuk Seri Najib Razak.
“Jika individu itu ada hubungan baik, mengapa perdana menteri sendiri bersetuju membawa perkara ini kepada umum? Jika dia ada kaitan dengan perdana menteri, laporan polis tidak akan dibuat Felda.
“Takkanlah hanya disebabkan wang zakat RM100,000, perdana menteri menyerahkan tanah itu,” katanya merujuk laporan tahun lalu, di mana Rahman menyerahkan zakat dalam sebuah majlis dihadiri Najib.
‘Terpegun’ pindah milik tanah kerajaan begitu mudah, kata pengerusi Felda