Sinar toleransi dalam video Krismas di Emiriah Arab Bersatu

Sinar toleransi dalam video Krismas di Emiriah Arab Bersatu

Portal Gulf News menemubual pasangan di Abu Dhabi yang menghasilkan video 'Apabila orang Islam meraikan Krismas' untuk menonjolkan kepositifan di rantau itu.

uae-celebrate-christmas-dubai
PETALING JAYA: Jika anda ada menonton video “When Muslims celebrate Christmas” (Apabila orang Islam meraikan Krismas) beberapa hari yang lepas, anda salah seorang daripada 6.8 juta orang yang menontonnya.

Muatnaik Facebook satu pasangan dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) tular sejurus selepas dinaikkan pada Jumaat, 3 hari sebelum Krismas.

Portal Gulf News menemubual Khalid Al Ameri, dan isterinya, Salama, untuk mengetahui bagaimana dan mengapa mereka menghasilkan video yang sudah menawan perhatian dunia.

Pasangan itu menjelaskan pesanan utama video itu tentang tema toleransi di UAE, di mana video itu menonjolkan bagaimana Krismas diraikan di negara Islam itu yang mempunyai jumlah penganut Kristian yang kecil, kebanyakannya pekerja asing dari Asia dan Afrika.

“Saya sentiasa mahu melakukan sesuatu yang menunjukkan sisi terbaik rantau kita ini.

“Perkara-perkara yang baik biasanya ditenggelamkan berita buruk, jadi saya rasa ini masa terbaik untuk berkongsi perkara-perkara yang baik di beberapa tempat di dunia,” kata Khalid kepada portal Dubai itu.

“Kita berdepan banyak cabaran, tetapi masih ada banyak kepositifan di rantau kita, dan lebih banyak paparkan perkara positif kepada orang ramai lebih banyak harapan keadaan akan bertambah baik, dan tiada cara lain untuk bergerak ke depan yang lebih baik daripada toleransi.”

Video itu tentang sebuah masjid di Abu Dhabi yang dikelilingi 4 gereja dan sebatang pokok Krismas gergasi di tengah-tengah bandar itu serta pelbagai aktiviti bertemakan Krismas yang diadakan secara terbuka.

“Kita ada masjid bernama Masjid Siti Maryam ibu Isa dan ia terletak di samping 4 gereja, dan itu memberikan mesej toleransi dan kewujudan bersama antara komuniti berbeza,” katanya lapor Gulf News.

Khalid merujuk kepada masjid yang pada asalnya bernama Masjid Shaikh Mohammad bin Zayed, sehinggalah Putera Mahkota Abu Dhabi Shaikh Mohammad Zayed Al Nahyan mengarahkan masjid itu diberi nama baru “untuk mengukuhkan ikatan perikemanusiaan antara pengikut agama berbeza”.

Masjid yang terletak di daerah Al Mushrif itu diberi nama “Mariam, Umm Eisa” atau “Siti Mariam, ibu Isa” pada 14 Jun tahun ini.

Menteri Toleransi dan Kegembiraan

“Juga harus diingatkan video seperti itu mustahil dilakukan tanpa kerajaan dan kepimpinan yang mengutamakan toleransi,” kata Khalid lapor Gulf News.

Beliau menambah kewujudan portfolio menteri toleransi dan menteri kegembiraan memungkinan perkara itu.

“Jadi, semua perkara itu diletakkan untuk merapatkan masyarakat dan menonjolkan persamaan kita.”

Khalid berkata maklum balas yang diterimanya setakat ini sangat positif, di mana penonton dari serata dunia menonton video itu.

“Saya baca komen dan ada banyak kepositifan, ramai orang seperti ‘Wow! Saya tidak tahu tentang perkara ini’.

“Jadi, memaparkan kehidupan kita dan keadaan sebenar di negara ini kepada dunia luar adalah sesuatu yang baik. Perasaan saya tersentuh apabila terbaca orang mengulas ‘inilah Islam sebenar, inilah rupa orang Islam,” katanya, lapor portal itu.

Khalid berkata sebagai seseorang yang mendiami rantau itu, beliau tidak lagi boleh berdiam diri.

“Kita tiada pilihan. Kita perlu kongsi cerita positif tentang rantau ini, dan keluarkan cerita-cerita itu dalam cara untuk menarik orang berbincang mengenainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.