Polis tidak halang demo Turun-Turun jika ada permit DBKL

Polis tidak halang demo Turun-Turun jika ada permit DBKL

Polis berkata penganjur perlu memohon permit kerana tunjuk perasaan 31 Disember ini akan menggunakan laluan DBKL.

himpunan-turun
KUALA LUMPUR: Polis berkata pihaknya tiada halangan untuk membenarkan penganjur Himpunan Turun-Turun yang akan diadakan pada 31 Disember ini tetapi bersyarat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharudin Abdullah berkata penganjur perlu mendapatkan permit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya akan pertimbangkan sebab mereka akan menggunakan laluan DBKL…takut rosak jalan. Kalau syarat dipatuhi kita benarkan mengikut Akta Perhimpunan Aman,” katanya kepada FMT.

Beliau ditanya mengenai hasil pertemuann dengan sekretariat Gerakan Turun-Turun yang diketuai penyelarasnya, Ahmad Syukri Che Ab Razab.

Shaharudin menambah polis tidak akan benarkan tunjuk perasaan diadakan jika penganjur tidak mendapatkan permit DBKL.

Sementara itu, Syukri berkata buat masa ini sekretariat belum memohon permit DBKL.

“Belum buat pemohonan daripada DBKL, tetapi daripada cara kita berhimpun kita tak perlu permit. Kita hanya berada di hadapan Sogo selama 15 minit untuk berkumpul dan jalan.

“Perhimpunan tetap akan diteruskan dan kita hadir hari ini mahu kerjasama dan bagi makkumat dengan polis,” katanya.

Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyerahkan notis penganjuran tunjuk perasaan Himpunan Turun-Turun kepada polis pada 21 Disember lalu. Himpunan itu akan diadakan menjelang sambutan tahun baru di Dataran Merdeka, bagi mendesak kerajaan mengembalikan subsidi bahan api dan menurunkan harga minyak.

Perhimpunan itu akan bermula di perkarangan pasaraya Sogo pada jam 11.00 malam sebelum berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.