4 sekeluarga bermalam di koridor selepas diusir

4 sekeluarga bermalam di koridor selepas diusir

Empat sekeluarga di usir keluar selepas gagal membayar sewa 3 bulan.

Pegawai pusat khidmat Adun Kebun Bunga Loh Eng Kim (kanan) dengan Looi Say Chye.
Pegawai pusat khidmat Adun Kebun Bunga Loh Eng Kim (kanan) dengan Looi Say Chye.
GEORGE TOWN:
Empat sekeluarga tidur bermalam di koridor sebuah pangsapuri kos rendah pada Hari Krismas, selepas tuan rumah mereka mengusir mereka keluar kerana gagal melunaskan bayaran sewa 3 bulan sebanyak RM900.

Barang kepunyaan keluarga itu disusun di koridor konkrit sempit di tingkat 5 pangsapuri.

Mereka tidur atas tilam nipis bersebelahan lif Pangsapuri Rifle Range di Air Hitam di sini.

Tidak jauh dari tempat mereka berkumpul adalah pelongsor kebuk sampah yang berbau busuk.

Bagi Looi Say Chye, 52, dan isteri warga Indonesia beliau, Umi, 43, duduk di koridor itu lebih baik daripada langsung tidak berbumbungkan apa-apa.

Dua anak kecil mereka yang berumur 6 dan 8 tahun masih mampu bergelak tawa apabila sekumpulan pemberita mengelilingi mereka, mungkin tidak memahami sepenuhnya kesusahan ibu bapa mereka.

“Kadang-kadang ada angin,” kata Ah Boy, anak bongsu Looi, apabila ditanya adakah dia suka tidur di situ.

Looi tidak mampu membayar sewa RM900 untuk pangsapuri 340 kaki persegi selepas dipecat majikan 3 bulan lalu.

Sejak itu, beliau mengambil upah membuat kerja rencam untuk mencari rezeki buat keluarga. Tetapi katanya, beliau tidak dapat meraih banyak daripada pekerjaan itu dan duit yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk makanan.

Isterinya, Umi, bekerja sebagai tukang cuci pinggan sambilan di restoran berdekatan, dan diupah lebih kurang RM5 hingga RM10 setiap kali.

Keluarga Looi menduduki sebuah koridor Pangsapuri Rifle Range.
Keluarga Looi menduduki sebuah koridor Pangsapuri Rifle Range.

Tetapi isterinya yang berasal dari Bandung, Jawa Barat itu hanya boleh bekerja separuh hari kerana perlu mengambil anaknya di tadika percuma berdekatan.

Kakak Ah Boy, Cindy, 8, juga belajar di tadika itu kerana ibu bapanya tidak mampu menghantarnya ke sekolah.

Walaupun dilahirkan di Pulau Pinang, 2 kanak-kanak itu tidak mempunyai kerakyatan kerana Umi dan Looi tidak mendaftarkan perkahwinan kerana perbezaan agama.

Sejak diusir, Looi dan keluarga menggunakan tandas awam di Pasar Rifle Range di tingkat bawah untuk membersihkan diri.

“Saya hanya mahu tempat tinggal untuk isteri dan anak-anak saya sementara saya cari pekerjaan lain.

“Saya harap ada orang dapat membantu. Saya tidak begitu kisah tentang diri saya. Tapi bantulah isteri dan anak-anak saya,” katanya dalam Hokkien.

Menceritakan bagaimana beliau hilang pekerjaan, Looi berkata ianya berlaku selepas majikannya merasakan beliau terlalu lemah untuk mengangkut barang.

Beliau dahulu bekerja sebagai penghantar untuk kedai fotokopi dan cetak di Jalan Kedah dan selalunya terpaksa membawa berkajang-kajang pelan bangunan menggunakan motosikal untuk dihantar kepada pemaju.

Strok yang dihidapnya sejak 6 tahun lalu mengehadkan pergerakan tangan kanan. Tetapi katanya, kini beliau mampu menggunakan tangan kanan sepenuhnya.

Keadaan bertambah buruk selepas dipecat, beliau berkata majikannya meminta bayaran RM30,000 untuk kos rawatan selepas beliau dilanggar sebuah van semasa melintas jalan pada 2010.

“Saya sedang menghantar pelan bangunan kepada pemaju di bandar. Semasa melintas jalan, saya dilanggar. Kaki kanan saya patah dan saya dihantar ke Hospital Pulau Pinang. Majikan saya telah membayar kos rawatan.

“Selepas mereka pecat saya 3 bulan lalu, mereka kata, ‘Oh, kamu tidak bertenaga, tidak perlu bekerja.’

“Dan majikan saya memberikan RM1,000 dan meminta saya membayar semula RM30,000 atas rawatan kemalangan saya bertahun lalu,” kata Looi.

Menurut Looi, beliau seorang pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) tetapi tidak dapat membuat tuntutan kerana laporan polis yang dibuatnya telah hilang.

Looi berkata keluarganya juga tidak membantu kerana satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup, iaitu adik lelakinya, sudah memutuskan hubungan dengannya.

“Selepas ibu saya meninggal dunia bertahun lalu, dia menjual rumah keluarga kami di Jalan Perak. Dia tidak pernah beri duit dan tidak pedulikan saya,” kata Looi.

Menurut Looi, beliau dan keluarga berpindah ke pangsapuri Rifle Range 2 tahun lalu, dan sebelum ini menyewa rumah kampung berdekatan kawasan Dhoby Gaut.

Mereka yang berhasrat membantu Looi, boleh menghubungi pegawai pusat khidmat Adun Kebun Bunga Loh Eng Kim di talian 04-826 5451 atau 012-488 6970.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.