

Anas Firdaus, 33, yang menyertai Uber Eats sejak 3 bulan lalu tidak menyangka mampu meraih sehingga RM4,000 sebulan, lebih banyak daripada gajinya sebagai penyelia bangunan.
“Pada mulanya, saya cuba bekerja dalam perkhidmatan Uber Eats ini hanya untuk keseronokan, sementara menunggu kontrak kerja saya disambung majikan.

“Tetapi, sejak bekerja sepenuh masa dalam Uber Eats ini, saya lihat gaji yang saya dapat lebih besar daripada gaji sebelum ini. Saya tidak sangka,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Jalan Bukit Bintang baru-baru ini.
Uber Eats yang dilancarkan September lalu menawarkan perkhidmatan berbeza, tetapi masih berada di bawah “payung” Uber yang memfokuskan perkhidmatan perkongsian kenderaan.
Pelanggan boleh membuat tempahan makanan dan menerimanya di lokasi pilihan mereka. Uber Eats ialah pesaing Food Panda sudah beberapa tahun beroperasi di Malaysia.
Untuk peringkat permulaan, Uber Eats hanya memfokuskan kawasan sekitar Kuala Lumpur, termasuk KLCC, Bukit Bintang, Kampung Baru, Bangsar dan Hartamas.
Anas berkata, kerja “posmen makanan” itu tidak susah dan mempunyai masa kerja lebih fleksibel.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, syarat menyertai Uber Eats juga mudah, iaitu motosikal berdaftar pada tahun 2000 ke atas, mempunyai lesen menunggang motosikal dan cukai jalan serta tiada saman tertunggak.
Katanya, Uber Eats akan memasukkan gaji ke akaun bank setiap Selasa.
“Satu tempahan Uber Eats bayar RM5 dan jaraknya dalam lingkungan 10km. Dalam satu hari boleh ambil lebih 80 tempahan.”
Beliau berkata, pelanggan membuat bayaran tempahan makanan menerusi kad kredit atau debit dengan Uber Eats.
“Tidak timbul isu hilang duit kerana pembayaran lebih teratur dan pelanggan juga lebih mudah berurusan dengan kita.”

Alif Abdul Rahman, 28, yang bekerja dengan Food Panda juga beralih kepada Uber Eats kerana masa kerja lebih fleksibel, gaji lebih tinggi dan mereka bebas mengambil berapa banyak tempahan berdasarkan kemampuan diri.
“Penyelenggaraan motosikal tidak menelan kos tinggi. Dalam sebulan hanya memerlukan RM800, termasuk minyak motor. Gaji bersih boleh capai RM3,200 sebulan,” katanya.

Mohd Muazril, 27, pula baru seminggu bekerja sepenuh masa dengan Uber Eats.
“Saya berhenti kerja lama disebabkan mahu melakukan sesuatu yang baru dan mencabar. Saya rasa Uber Eats memberi saya kepuasan dan lebih gigih menjana pendapatan.”