Kedai kek Indonesia minta maaf, enggan tulis ucapan Krismas atas kek

Kedai kek Indonesia minta maaf, enggan tulis ucapan Krismas atas kek

Seorang pelanggan meminta kedai kek Chocolicious Indonesia di bandar Makassar menulis ucapan 'Selamat hari Natal keluargaku' di atas kek tempahannya, namun mereka enggan berbuat demikian.

kedai-kek-Chocolicious-Indonesia-hari-natal
PETALING JAYA: Sebuah kedai kek di Indonesia memohon maaf selepas kontroversi tercetus akibat tindakannya menolak permintaan pelanggan menulis ucapan Krismas di atas kek atas alasan agama.

The Jakarta Post melaporkan seorang pelanggan meminta kedai kek Chocolicious Indonesia yang terletak di bandar Makassar, selatan Sulawesi menulis ucapan “Selamat hari Natal keluargaku” di atas kek yang ditempahnya, namun mereka enggan berbuat demikian.

Kedai itu dalam kenyataan yang dimuat naik ke Instagram pada Ahad memohon maaf atas penolakan itu kerana prinsip agama mereka dan tindakan berkenaan tidak bermakna mereka tidak menghargai agama pelanggan.

Katanya, mereka ada menyediakan kad ucapan dan kepingan coklat untuk pelanggan menyampaikan ucapan mereka.

Laporan mengenai kontroversi itu mengundang kritikan pengguna internet terhadap tindakan kedai kek berkenaan.

Sementara itu, Tribunnews.com memetik Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia (MUI), Ma’ruf Amin sebagai berkata, tiada larangan untuk umat Islam mengucapkan “Selamat Hari Natal” kepada penganut Kristian kerana belum ada fatwa mengenainya dikeluarkan.

“Kita berharap bangsa Indonesia, khususnya umat Islam menjaga suasana kondusif ketika Hari Natal dan Tahun Baru, tidak menimbulkan konflik yang tidak perlu.

“Mari kita menghormati Hari Natal dan Tahun Baru, bagi seluruh, terutama saudara-saudara kita dari agama Kristian,” katanya pada Jumaat lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.