Penyempadanan semula boleh jadi ‘senjata makan tuan’

Penyempadanan semula boleh jadi ‘senjata makan tuan’

'Gerrymander', atau taktik licik untuk memenangi pilihan raya, boleh makan tuan, kata penganalisis.

Wong-Chin-Huat-ec-ge14-1
PETALING JAYA:
Taktik licik yang bertujuan memenangi pilihan raya, atau apa yang kerap dipanggil sebagai “gerrymander” menerusi penyempadanan semula, boleh menjadi risiko besar kerana keputusan boleh memihak mana-mana pihak, menurut penganalisis politik, Wong Chin Huat.

“Penyempadanan semula pada asasnya menjadikan risiko itu semakin besar. Jika kamu bernasib baik, kamu menang besar.

“Bagaimanapun, jika pengundi berubah fikiran, rancangan awal anda akan gagal,” kata Wong yang merupakan ketua analisa politik dan sosial di Penang Institute, kepada FMT.

Menurutnya, idea utama di sebalik “gerrymander” adalah menempatkan pengundi di tempat yang dimahukan dengan harapan mendapatkan sokongan mereka dan memaksimumkan undi yang diraih.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini giat menjalankan penyempadanan semula, tetapi menerima bantahan parti politik terutama pembangkang yang menuduh ia sebahagian muslihat untuk memenangkan Barisan Nasional.

SPR telah menetapkan sesi pendengaran umum yang akan berlangsung pada cuti akhir tahun, minggu depan, dalam usaha menyiapkan proses itu sebelum PRU perlu diadakan menjelang pertengahan tahun depan.

“Gerrymander” bermaksud perbuatan memanipulasi sempadan pilihan raya supaya undian memihak kepada parti pemerintah dengan menghimpunkan pengundi yang menyokong kerajaan dan memecahkan pengundi parti lain kepada beberapa kawasan berbeza.

Di bawah taktik itu, setiap kawasan tidak lagi mengikut kawasan geografi atau jumlah rakyat yang diwakili oleh ahli parlimen atau Adun.

Bagaimanapun, Wong berkata “gerrymander” adalah sesuatu yang tidak dapat dikawal oleh mereka yang melakukannya.

“Contohnya, kalau anda berhasrat menipu dengan memalsukan undian, jika pengundi tidak keluar mengundi, rancangan anda akan gagal dan tidak berkesan, tetapi ia tidak akan memakan diri sendiri,” tambahnya.

“Bagaimanapun, jika pengundi berubah fikiran, atau kehadiran lebih tinggi atau lebih rendah daripada yang dijangka, anda mungkin akan kalah atau menang. Ia meningkatkan risiko yang tidak dapat dijangka dan tidak dapat ditentukan.”

Kata Wong, SPR mungkin mempunyai masa cukup untuk menyiapkan proses penyempadanan semula sebelum PRU akan datang.

“Mereka perlukan 2 hingga 3 minggu untuk menyiapkan siasatan pusingan pertama dan kemudian mereka perlu mengeluarkan paparan kedua (semakan semula cadangan penyempadanan semula), kemudian selepas itu akan ada pusingan siasatan sekali lagi mengambil masa 1 hingga 2 minggu.

“Mereka dapat menyiapkan semua ini sebelum akhir Februari dan bentangkannya di Parlimen pada Mac, dan selepas ia menerima perkenan Agong, mereka boleh bubarkan Parlimen dan mengisytiharkan pilihan raya.”

Penganalisis bebas, Khoo Kay Peng pula berkata beliau tidak fikir SPR mempunyai masa mencukupi untuk menjalankan semua proses diperlukan sebelum pilihan raya.

“Orang membuat tanggapan kerana tiada apa-apa dapat dilihat buat masa ini, sukar untuk membuat komen,” katanya apabila diminta mengulas berhubung tuduhan mengatakan rancangan SPR itu sebahagian perbuatan “gerrymander”.

Katanya, daripada pengalaman lalu, penyempadanan semula dijalankan untuk memanfaatkan pemerintah semasa.

Ia sepatutnya dijalankan untuk memastikan kepadatan pengundi diagihkan secara adil.

“Ia untuk memastikan rakyat Malaysia memperoleh perwakilan yang lebih baik. Ianya disebabkan oleh kepadatan pengundi. Terdapat potensi pada masa depan, sesetengah kawasan mungkin mencecah 400,000-500,000, malahan sehingga sejuta penduduk. Ia boleh terjadi,” katanya.

“Sebagai sebuah perwakilan, ianya bermaksud lebih banyak perlu dilakukan dan sesetengah orang mungkin tidak mempunyai perwakilan yang jelas di Parlimen.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.