Felda akui transaksi tanah berlaku, tapi tidak terima 1 sen pun

Felda akui transaksi tanah berlaku, tapi tidak terima 1 sen pun

Pengerusi Shahrir Samad berkata Felda tidak terima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu, yang dianggarkan bernilai RM270 juta.

Shahrir-Abdul-Samad-felda
KUALA LUMPUR: Felda hari ini mengakui transaksi tanah milik agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur memang berlaku dan dianggarkan jumlah keseluruhannya bernilai RM270 juta.

Bagaimanapun, Pengerusi Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata Felda tidak menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.

“Duit tak ada. RM 1 sen pun tidak bayar. Tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.

“Walaupun dengar dalam surat jual beli tanah itu berjuta-juta tetapi Felda tidak terima wang itu,” katanya pada sidang media mengenai isu pindah milik tanah Felda itu di Menara Felda.

Berita Harian hari ini mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM200 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Shahrir, yang dilantik menjadi pengerusi Felda 6 Januari lalu, berkata beliau hanya menyedari pertukaran hak milik tanah Felda itu pada akhir Januari tahun ini.

Kerana khuatir terdapat penipuan dalam perjanjian tanah itu, Shahrir mengumumkan Felda, atas nasihat perdana menteri, akan melantik audit luar untuk melakukan siasatan ke atas transaksi itu.

“Selain itu, Felda juga akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil di mahkamah terhadap syarikat itu. Felda juga telah membuat laporan polis pada 12 Disember lalu apabila mengesyaki ada berlakunya unsur penipuan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Shahrir berkata Felda juga akan mendaftarkan tanah yang sudah ditukar hak milik itu sebagai “kaveat persendirian” di Jabatan Tanah Wilayah Persekutuan.

“Kita sudah kaveat tanah itu pada 14 April. Kita tunggu siasatan dalaman oleh audit luar yang dijangka akan dimulakan pada Januari depan,” katanya.

Kaveat persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga harta itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.

Shahrir berkata Felda akan berusaha mendapatkan balik hak milik tanah itu dan sebarang rundingan masih boleh dilakukan dengan syarikat terlibat jika mahu memulangkan tanah itu.

“Kita tidak berminat sebarang duit tetapi kita mahu tanah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.