Taiwan tapis ucapan Maria Chin ketika terima anugerah hak asasi

Taiwan tapis ucapan Maria Chin ketika terima anugerah hak asasi

Bahagian yang ditapis itu berkaitan skandal 1MDB dan dakwaan rasuah.

HR-award-1
PETALING JAYA: Pengumuman pemantau pilihan raya Bersih 2.0 memenangi satu anugerah atas usaha mempromosikan demokrasi dibayangi berita sebahagian ucapan pengerusinya, Maria Chin Abdullah ditapis penganjur di Taiwan.

Satu salinan ucapan yang disediakan untuk media hari ini menunjukkan bahagian ucapan ditapis yang berkaitan dana 1MDB dan semua dakwaan rasuah dihadapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bahagian ucapan bertajuk “Rasuah Tanpa Halangan” dikeluarkan “atas alasan sensitiviti diplomatik”.

Bahagian ucapan yang ditapis itu berbunyi: “Pada Julai 2016, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengemukakan suatu jejak duit yang digubah secara haram melalui 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Ministry of Finance Inc, Malaysia,”

“Lebih daripada AS$3.5 bilion telah dikeluarkan, termasuk AS$681 juta yang dipindahkan ke akaun peribadi Najib Razak. Sebahagian daripada jumlah ini digunakan untuk membiayai pilihan raya umum ke-13.

“Walau begitu, dengan penumpuan kuasa-kuasa demokratik di tangan eksekutif, semua siasatan atas 1MDB diberhentikan dengan serta-merta apabila peguam negara dikeluarkan dan penghapusan 2 badan penyiasatan.

“Di 7 buah negara, kes mahkamah 1MDB sedang disiasat tetapi di Malaysia, kes ini ditutup dengan bersahaja.”

Bersih 2.0 menerima Anugerah Demokrasi dan Hak Asasi Manusia Asia (Adhra) pada 10 Disember lalu sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

Acara itu dihadiri Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen; Pengerusi Yayasan Demokrasi Taiwan, Su Jia-chyuan; Presiden Yayasan Demokrasi Taiwan, Hsu Szu-chien dan pemimpin masyarakat awam.

Dalam ucapan itu, Maria turut menyentuh isu lain seperti kekurangan kebebasan bersuara, serangan ke atas pejuang hak asasi manusia dan penggunaan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2015 (Sosma) oleh kerajaan.

“Kerajaan juga memainkan peranan menyemai benih ketidakpercaaan terhadap masyarakat sivil dengan memberi gelaran ‘anti-Islam’, ‘anti-Melayu’ dan perasaan benci untuk dana luar negara yang dipamerkan sebagai skema ‘revolusi warna’ untuk menumbangkan kerajaan.

“Politik kebencian, ketiadaan toleransi dan sikap memilih dalam hal agama yang akan menyebabkan keruntuhan kebebasan dan hak asasi manusia, digunakan terhadap pejuang hak asasi manusia. Malangnya, kekebalan pelaku masih tidak ditangani.”

Katanya, perjalanan ke arah perubahan masih jauh.

“Suara-suara rakyat adalah lantang dan jelas – kebencian antara kaum, ketiadaan toleransi, keganasan dan kemiskinan tiada tempat di negara kita.

“Panggilan kejujuran kami: Mereka boleh memenjarakan kami. Mereka boleh memukul kami. Tetapi, mereka tidak boleh memecahkan semangat kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.