Dari Kulim ke Putrajaya, 70 bekas pekerja berkumpul di JPM tuntut janji pampasan

Dari Kulim ke Putrajaya, 70 bekas pekerja berkumpul di JPM tuntut janji pampasan

Bekas dan waris pekerja ladang itu tidak mendapat satu sen pun selepas mahkamah mengarahkan Syarikat Alamanda membayar sejumlah pampasan dan tambahan RM22,500 kepada setiap pekerja untuk skim perumahan mereka.

Ex-estate-workers
Lebih 70 bekas dan waris pekerja ladang Padang Meha menaiki 2 bas dari Kedah seawal 1 pagi Isnin dan tiba di Putrajaya kira-kira 9 pagi tadi.
PUTRAJAYA:
Sekumpulan bekas dan waris pekerja Ladang Padang Meha di Kulim, Kedah mahu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dan bekas tuan tanah, Syarikat Alamanda Development Sdn Bhd yang didakwa tidak mematuhi arahan mahkamah membayar pampasan kepada mereka.

Lebih 70 bekas dan waris pekerja ladang getah itu datang khas dari Kedah ke Putrajaya dengan 2 bas hari ini untuk menyerahkan satu memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

poster
Antara poster dan gambar yang dibawa sekumpulan bekas dan waris pekerja ladang Padang Meha ketika mengadakan protes di depan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut hadir membantu mereka dengan cuba mengatur pertemuan dengan Kementerian Sumber Manusia.

Choo-Choon-Kai
AJK Pusat PSM, Choo Choon Kai berkata, masalah timbul apabila Syarikat Alamanda diisytiharkan muflis dan semua bekas dan waris pekerja ladang itu tidak mendapat sebarang pampasan sehingga kini.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Choo Choon Kai berkata, isu itu timbul apabila 212 pekerja Ladang Padang Meha dihentikan pada 12 Mac 1995 tanpa sebarang pampasan dan ladang itu dijual bekas majikan, The East Asiatic Co (M) kepada MBF Country Homes & Resort Sdn Bhd yang kemudiannya dikenali sebagai Syarikat Alamanda.

Susulan itu, katanya, 207 bekas pekerja itu mengheret tuan tanah ke mahkamah untuk menuntut pampasan dan skim perumahan. Pada 2011, mahkamah memerintahkan Syarikat Alamanda membayar sejumlah pampasan dan tambahan RM22,500 kepada setiap pekerja untuk tujuan skim perumahan mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata, masalah timbul apabila Syarikat Alamanda diisytiharkan muflis dan sehingga hari ini, semua bekas dan waris pekerja ladang itu tidak mendapat sebarang pampasan.

“Justeru, bekas pekerja ladang mengambil keputusan mengadakan protes di depan JPM hari ini dan mahu menemui Najib dan Syarikat Alamanda bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada FMT di luar JPM.

Siti-Zubaidah-Othman
Siti Zubaidah Othman, 54, kecewa gagal mendapat satu sen pun walaupun mahkamah sudah memberi kemenangan kepada mereka.

Seorang bekas pekerja ladang itu, Siti Zubaidah Othman, 54, kecewa walaupun sudah menang di mahkamah, tetapi mereka tidak mendapat satu sen pun daripada usaha menuntut pampasan yang dimulakan sejak 1995.

Beliau yang bekerja di ladang itu sejak 1985 berkata, isu itu timbul apabila bekas majikan menjual ladang terbabit tanpa pengetahuan pekerjanya.

“Kami hanya mahu wang pampasan kami. Kami minta pulangkanlah. Saya juga menuntut hak ini sebagai waris suami saya yang sudah meninggal dunia.

“Bermacam-macam kami lakukan sehingga ke mahkamah, tetapi sudah menang tidak dapat apa-apa. Kami mahu hak kami.”

Vasantha-Subrain
Vasantha Subrain, 64, berkata selepas pelbagai bantahan dan tuntutan di mahkamah, mereka masih tidak mendapat sebarang pampasan.

Seorang lagi bekas pekerja, Vasantha Subrain, 64, berkata wang pampasan itu penting untuk meneruskan kehidupannya selepas bersara.

“Marah pun tak guna, sebab itu kami datang dari jauh untuk berjumpa perdana menteri. Kita sudah lama turun naik mahkamah di Alor Setar, protes sana sini, tetapi masih gagal.”

Normah-Ibahim
Waris bekas pekerja ladang, Normah Ibahim, 50, berkata lebih 80 daripada 212 pekerja di ladang itu sudah meninggal dunia, termasuk ibu mertuanya.

Seorang waris bekas pekerja ladang itu, Normah Ibahim, 50, buntu kerana pelbagai usaha dilakukan, termasuk menulis surat kepada kerajaan.

“Daripada 212 pekerja, lebih 80 orang sudah meninggal dunia, termasuk ibu mertua saya. Kami menuntut mereka (bekas pekerja) bersama waris pekerja ladang Padang Meha hari ini memberi sokongan untuk dapatkan hak kami.”

Sementara itu, AJK Pusat PSM, Karthiges Rajamanikam berkata, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Wan Zulkifli Wan Setapa akan mengadakan pertemuan dengan bekas pekerja ladang Padang Meha dan Syarikat Alamanda di Pejabat Tenaga Kerja di Kulim, pada 8 Januari depan.

Beliau juga berjanji akan mendapatkan khidmat peguam bagi membantu kumpulan bekas dan waris pekerja terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.