
“Saya maafkan anak murid saya dan keluarga mereka,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Ia selepas Mahkamah Majistret Seremban menarik balik pendakwaan terhadap Azizan dan menggugurkan tuduhan memukul muridnya itu.
Majistret Mohd Zaki Abdul Rahman turut mengarahkan wang jaminan RM500 yang ditetapkan untuk pembebasan Azizan sebelum ini dikembalikan.
Mengikut kertas pertuduhan, Azizan didakwa melakukan kesalahan itu di depan tapak perhimpunan Sekolah Kebangsaan Taman Semarak di Nilai kira-kira 7 pagi, pada 6 April lalu.
Beliau dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri Muhammad Zainul Danish Zaridin.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Kira-kira 200 orang yang kebanyakannya guru hadir menyuarakan sokongan kepada Azizan.
Mengulas lanjut, Azizan berterima kasih kepada mereka yang hadir ke mahkamah untuk menyokongnya dan mendoakannya dari jauh seperti Mekah.
“Saya hargai semua sokongan dan sahabat. Insya Allah Allah akan rahmati kita semua,” katanya.