
Peter Mandaville, pensyarah hal ehwal antarabangsa di Universiti George Mason, memberitahu akhbar South China Morning Post bahawa pendekatan berhati-hati ini bermula sejak Presiden Donald Trump mengenakan larangan perjalanan terhadap warga 6 negara majoriti Islam awal tahun ini.
“Saya rasa pemimpin Islam utama di Timur Tengah dan Asia memutuskan mereka sanggup bertolak ansur dengan kebanyakan Islamofobia dan unilateralisme yang menjadi sebahagian AS selepas Washington mengambil keputusan memusuhi Tehran dan Beijing,” kata Mandaville.
Mandaville, yang juga bekas penasihat politik Islam di Jabatan Negara AS, berkata dunia perlu bercakap “secara diplomatik” untuk “menarik perhatian Israel dan AS” mengenai bantahan mereka.
“Pemimpin Asia harus bekerjasama dengan rakan mereka di Eropah dan Afrika untuk memastikan satu penyelesaian jelas menerusi rundingan bagi 2 negara itu untuk maju ke hadapan,” katanya.
Najib merupakan antara pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang bersidang di Turki baru-baru ini yang mengutuk keputusan Washington.
Bagaimanapun, 2 hari selepas membuat ucapan mengecam keputusan itu di persidangan Umno, Najib berkata hubungan Putrajaya-Washington tidak akan dipengaruhi oleh langkah tersebut.
Minggu ini, Najib dan rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berkongsi pentas membantah keputusan Trump.