Kumpulan Yayasan Sabah raih keuntungan RM235 juta

Kumpulan Yayasan Sabah raih keuntungan RM235 juta

Pengarah Yayasan Sabah, Sapawi Ahmad berkata, sektor perladangan menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan itu dengan RM166 juta, disusuli sektor minyak dan gas serta pelancongan.

Sapawi-Ahmad-yayasan-sabah-keuntungan
PETALING JAYA: Prestasi kewangan Kumpulan Yayasan Sabah terus meningkat tahun ini dengan anggaran pendapatan sebanyak RM1.05 bilion berbanding RM850.33 juta tahun lalu, peningkatan sebanyak RM200 juta atau 24%.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad berkata, kumpulan itu dianggarkan meraih keuntungan sebanyak RM235 juta tahun ini berbanding RM50 juta tahun lalu, peningkatan sebanyak RM185.3 juta atau 373% yang disifatkannya pencapaian sangat baik.

Beliau berkata, RM166 juta yang diperoleh sektor perladangan agro merupakan penyumbang terbesar kepada kumpulan itu tahun ini.

“Sektor minyak dan gas dengan anggaran keuntungan RM42 juta dan seterusnya sektor pelancongan yang mencatat anggaran keuntungan sebanyak RM38 juta,” kata ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Kumpulan Yayasan Sabah 2017 di Kota Kinabalu, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang merupakan pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.

Sapawi turut memuji prestasi 57 anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah, khasnya 13 anak syarikat dan syarikat bersekutu yang berjaya mengagihkan dividen berjumlah RM232.5 juta kepada pemegang saham.

“Diharapkan anak syarikat dan syarikat bersekutu lain dapat terus berusaha memperbaiki prestasi agar pelaburan organisasi sebanyak RM1.7 bilion akan mendapat pulangan lebih baik.”

Dalam pada itu, katanya, fokus utama Kumpulan Yayasan Sabah sejak ditubuhkan pada 1968 ialah pendidikan yang merupakan pelaburan terbaik untuk melahirkan modal insan berintelek tinggi, berkemahiran dan memiliki sikap positif serta nilai murni bagi menggerakkan kemajuan Sabah.

Beliau berkata, Kumpulan Yayasan Sabah melalui Bahagian Pembangunan Pendidikan secara keseluruhan membelanjakan RM648 juta untuk menaja 97,680 pelajar sepanjang 49 tahun penubuhannya.

Katanya, tahun ini sahaja, lebih 3,800 pelajar mendapat manfaat daripada pinjaman pengajian, biasiswa pengajian tinggi dan pendidikan menengah, di samping program kaunseling serta karnival pendidikan dengan perbelanjaan RM25.7 juta.

Sapawi berkata, Kumpulan Yayasan Sabah turut berusaha melaksanakan pelbagai program sosial membabitkan kos lebih RM3.8 juta yang memanfaatkan lebih 85,000 penduduk Sabah sepanjang tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.