4 lelaki berputih mata, penduduk bongkar cubaan curi kerbau

4 lelaki berputih mata, penduduk bongkar cubaan curi kerbau

Empat lelaki berpura-pura memancing sambil menyumpit kerbau dipercayai dengan ubat pelali bagi melemahkan haiwan itu sebelum disumbat dalam MPV untuk melarikannya.

kerbau_kerata1
BUKIT MERTAJAM: Empat lelaki dipercayai anggota geng curi lembu dan kerbau berpura-pura memancing ikan di Sungai Kulim, sebelum menyumpit kerbau milik penduduk yang ditambat di tepi sungai berkenaan di Kubang Semang, hari ini.

Geng itu yang dipercayai aktif dalam kegiatan berkenaan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey untuk mencuri haiwan peliharaan penduduk.

kerbau_kerata_1
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kubang Semang, Saidin Yaakob berkata, sambil memancing, mereka menyumpit kerbau dipercayai dengan ubat pelali bagi melemahkan haiwan itu sebelum disumbat dalam MPV untuk melarikannya.

Bagaimanapun, katanya, gelagat 4 lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dilihat seorang remaja yang kemudiannya memaklumkan penduduk kampung sebelum mereka cuba menahan geng berkenaan.

“Mereka yang bersenjatakan parang itu panik selepas melihat penduduk kampung, bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kerbau dalam MPV.

“Empat lelaki itu bagaimanapun bertindak mencuri 2 motosikal penduduk ketika cuba melarikan diri. Kerbau yang cuba dilarikan tersebut berharga RM7,000 hingga RM8,000,” katanya.

Saidin berkata, pemilik kerbau berusia 50-an itu membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan beliau pernah kehilangan 3 ekor lembu, Ramadan lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPT, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, polis turut menerima laporan daripada pemilik kerbau berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu dan polis percaya 4 lelaki itu merupakan anggota sindiket mencuri lembu dan kerbau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.