
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tiba di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira 9.30 pagi tadi dengan ditemani peguamnya dan disoal siasat kira-kira sejam.
Beliau turut ditemani Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP, Ronnie Liu.
“Saya disiasat kerana tweet saya mengatakan Sultan Selangor perlu berhati-hati, saya jelaskan tweet itu adalah respons daripada kenyataan Sultan Selangor tentang Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya juga jelaskan itu pandangan saya, bukan kumpulan lain, parti lain atau pembangkang.
“Saya rasa bertanggungjawab jelaskan peranan raja berperlembagaan dan bagaimana harus jaga negara serta kekalkan sistem demokrasi,” katanya di perkarangan Bukit Aman.
Minggu lalu, Zaid menegur Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dilaporkan berkata, agenda politik Dr Mahathir didorong “kebencian mendalam” dan “kemarahannya akan membakar seluruh negara”.
Zaid dalam catatan Twitternya berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”
Ia disusuli Sultan Selangor menyerang Zaid dan mendakwa beliau sengaja memutar belit kenyataannya demi kepentingan politik.
Tweet Zaid mencetuskan kemarahan, lebih-lebih lagi dalam kalangan pemimpin dan ahli Umno yang mendesak tindakan diambil terhadap Zaid kerana mengkritik sultan.
Mengulas lanjut, Zaid yang menyertai DAP Februari lalu berkata, polis memberi layanan baik dan bertanya soalan relevan kepadanya dalam sesi soal siasat hari ini.
Katanya, beliau bersedia jika polis memanggilnya semula bagi membantu siasatan berhubung isu itu.