Pengurusan kes IRF cabar akta penerbitan 2 Januari

Pengurusan kes IRF cabar akta penerbitan 2 Januari

Islamic Renaissance Front mahu mencabar keperlembagaan peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan selepas 3 buku mereka diharamkan.

irf_law_600
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Persekutuan menetapkan pengurusan kes 2 Januari ini selepas Islamic Renaissance Front (IRF) mahu memohon suatu deklarasi dalan usaha mencabar keperlembagaan satu peruntukan undang-undang persekutuan.

Peguam IRF, Grace Teoh Wei Shan, berkata perkara itu akan didengarkan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan.

IRF berpendirian Seksyen 7 Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 untuk mengawal penerbitan yang tidak diingini bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, IRF mesti dapatkan kebenaran seorang hakim Mahkamah Persekutuan sebelum panel 5 anggota mendengar sama ada terdapat merit untuk mendengar pengisytiharaan itu.

Bulan lepas, IRF memfailkan permohonan memohon pengisytiharaan itu di Mahkamah Persekutuan. IRF turut memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melawan pengharaman 3 buku oleh Kementerian Dalam Negeri.

Teoh berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Aqilah Abdul Halim mengarahkan KDN memfailkan afidavit balas pada 5 Januari sebagai respon kepada tindakan IRF.

“IRF perlu menfailkan afidavit balas pada 26 Januari, dan jika kementerian mempunyai afidavit lanjut, mereka perlu failkan pada 9 Februari,” katanya pada pemberita selepas pengurusan kes hari ini.

Peguam Muzila Mohamed Arsad mewakili kementerian.

IRF memohon suatu perintah untuk membatalkan pengharaman buku “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”, iaitu terjemahan buku tulisan ahli akademi Turki Mustafa Akyol, “Islam without Extremes: A Muslim Case for Liberty”, serta 2 buku siri “Wacana Pemikiran Reformis”.

Arahan itu diwartakan pada 6 September bawah Peraturan Mesin Cetak dan Penerbitan, yang antara lain, membolehkan pihak berkuasa melarang percetakan, pengedaran dan pemilikan bahan cetak.

IRF juga memohon pengisytiharaan mengisytiharkan pengharaman itu sebagai tidak sah, dan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah IRF Dr Ahmad Farouk Musa, yang memfailkan afidavit menyokong permohonan itu, berkata arahan KDN melanggar keadilan kerana tidak memberikan hak untuk didengari kepada IRF.

Farouk berkata kenyataan media menteri mengumumkan pengharaman itu tidak munasabah, tidak rasional dan mengambil kira faktor yang tidak relevan.

“Responden gagal menjelaskan bagaimana penerbitan atau kandungan tersebut mempromosikan liberalisme, mengandungi elemen yang menghina Islam dan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar,” katanya.

Farouk berkata arahan menteri itu juga bertentangan dengan Perkara 3 Perlembagaan dan mencampuri bidang kuasa Islam yang terletak bawah negeri.

Beliau berkata pengharaman itu bertentangan dengan Perkara 10 kerana Parlimen hanya meluluskan undang-undang untuk mengehadkan kebebasan bersuara.

Pada 29 November, Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Md Said membenarkan permohonan memohon kebenaran IRF selepas medengah hujah peguam Farouk dan kerajaan.

Farouk dalam afidavitnya memetik menteri sebagai berkata buku tersebut diharamkan kerana kandungan yang mempromosikan liberalisme, menghina Islam dan menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Beliau menambah penerbitan itu tidak menyebabkan aduan daripada menteri atau menjejaskan ketenteraman awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.