Sultan Selangor puji Khalid Ibrahim MB ‘sangat setia’

Sultan Selangor puji Khalid Ibrahim MB ‘sangat setia’

Sultan Sharafuddin terkejut apabila Khalid Ibrahim disingkirkan sebagai menteri besar Selangor, 3 tahun lalu.

sultan-khalid-ibrahim-3
PETALING JAYA: Sultan Selangor terkejut apabila Tan Sri Khalid Ibrahim disingkirkan sebagai menteri besar negeri itu, pada 2014.

Dalam wawancara bersama The Star, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bosan dengan muslihat politik, bagaimanapun memuji kesetiaan Khalid.

“Saya tidak percaya apa yang berlaku khasnya kepada Khalid. Beliau sangat setia dan tiba-tiba disingkirkan.

“Mungkin ada agenda tersembunyi, mungkin saya bukan ahli politik dan itu perkara yang saya tidak faham,” katanya dalam wawancara sempena Hari Keputeraan ke-72 esok.

Khalid menyertai Umno sekitar 1990-an sebelum beralih ke PKR sekitar 2000. Beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor susulan kejayaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada pilihan raya umum 2008.

Khalid meletak jawatan menteri besar pada 26 Ogos 2014 berikutan krisis dalaman parti itu, selepas beliau dipecat daripada PKR kerana melanggar arahan parti untuk membuka laluan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sultan Sharafuddin menyifatkan penyingkiran Khalid sebagai episod paling mencabar dalam politik Selangor.

Menurutnya, jantina bukan punca beliau menolak pencalonan Dr Wan Azizah untuk menggantikan Khalid menerajui negeri itu.

“Sebab saya tidak menerima Wan Azizah bukan kerana saya fikir beliau tidak layak atau beliau seorang wanita.

“Saya telah kata sebelum ini – menteri besar tidak boleh berkawalan jauh, beliau tidak boleh menjadi boneka. Anda perlu mempunyai perwatakan kukuh untuk melakukan sesuatu buat rakyat.

“Apabila saya minta mereka serah nama, mereka hanya beri 1 nama. Itu bermakna mereka menekan saya.

“Saya selalu minta beberapa nama daripada kerajaan sebelum ini dan mereka kadangkala hantar sehingga 3 nama, tetapi mereka senaraikan keutamaan mereka. Apa masalahnya untuk mereka hantar lebih daripada satu nama?”

Sultan Selangor turut menafikan beliau bertegas PAS perlu dikekalkan dalam kerajaan negeri itu.

“Tiada arahan daripada saya. Tetapi, saya tidak suka pilihan raya kilat, ia terlalu mengganggu dan mahal, sedangkan apa yang perlu kita lakukan ialah membangunkan negeri untuk rakyat.

“Jadi, jika mereka mahu mengekalkan kerajaan sehingga pilihan raya akan datang, itu baik. Tetapi, selepas pilihan raya umum, saya tidak tahu apa yang akan berlaku.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.