Imam besar Al-Azhar di Mesir enggan jumpa naib presiden AS

Imam besar Al-Azhar di Mesir enggan jumpa naib presiden AS

Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb berkata, beliau tidak boleh duduk semeja dengan mereka yang manipulasi sejarah dan menafikan hak rakyat Palestin.

ahmed-mohamed
KUALA LUMPUR:
Imam Besar Al-Azhar Al Sharif Mesir, Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb membatalkan pertemuan dengan Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence berikutan pengiktirafan negara itu terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Agensi Berita Islam Antarabangsa (Una) semalam melaporkan Universiti Al-Azhar dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Besar AS di Kaherah menghantar permohonan pertemuan tersebut minggu lepas.

Sheikh Al-Tayyeb yang pada awalnya menerima pelawaan itu bagaimanapun menarik diri susulan perkembangan terbaru membabitkan status Baitulmaqdis.

“Kami tidak boleh duduk semeja dengan mereka yang manipulasi sejarah dan menafikan hak rakyat Palestin.

“Saya langsung tidak berkeinginan bertemu dengan pihak yang menyerahkan sesuatu bukan hak milik mereka dan Amerika harus membatalkan pengiktirafan itu dengan segera,” katanya.

Sheikh Al-Tayyeb turut menyeru rakyat Palestin bangkit kembali dengan semangat tinggi demi Islam dan negara tercinta.

“Kami (Al-Azhar) bersama rakyat Palestin dan tidak akan membiarkan mereka bersendirian,” katanya.

Di Washington, pada Rabu lepas, Trump mengumumkan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, dan mengarahkan Jabatan Negara itu memulakan proses memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.