
D Shanti, 43, akhirnya bercakap dengan media sejak anaknya dibuli dan didera secara ganas oleh sekumpulan remaja berdekatan rumah mereka pada 9 Jun lepas.
Beliau memujuk dirinya dengan memakaikan kemeja T Nhaveen pada bantal peluk.
“Saya masih rasa dia ada di sini. Saya berbaring dengan bantal dan bersembang dengannya.
“Apabila saya melawat sanak saudara, saya bawa bantal bersama. Saya masih rasai kehadirannya,” katanya.
Shanti, seorang penyelia di sebuah kilang, tersinggung dengan spekulasi kononnya anaknya terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.
“Mengarut. Dia anak lelaki yang baik dan patuh. Dia seorang yang penyayang dan berdikari. Dia sayangkan binatang dan bertegas hanya akan membelanjakan wang hasil titik peluh sendiri.”
Shanti berkata di ulangtahun kelahiran ke-18, Nhaveen mahu membawa keluarganya melancong ke Genting Highlands menggunakan gajinya yang diterima sebagai seorang promoter di sebuah kedai barangan.
Tahun lepas, keluarganya melancong ke Cameron Highlands.

“Di hari lahirnya ke-17, ibu saudara Nhaveen berikan wang tunai tetapi dia tidak belanja 1 sen pun pada dirinya. Tetapi, dia belikan saya cermin mata dan subang.
“Sebelum dapat kerja di kedai barangan, dia akan bekerja separuh masa dan gunakan gajinya membeli barang yang dia suka.
“Kawasan perumahan ini tahu dia seorang budak yang baik kerana di pernah bekerja sebagai juruwang di kedai runcit blok pangsapuri kami.
“Saya berjanji akan izinkan dia dapatkan lesen motorsikal untuk hari lahirnya tahun ini. Saya tahu dia boleh dapatkan lesen itu pada usia 16 tahun, tetapi saya minta dia bersabar sehingga usia 18 tahun. Dia terima dengan baik,” kata Shanti.

Beliau berkata ada kalanya dia akan mengajar Nhaveen menunggang motorsikalnya berdekatan blok pangsapuri mereka.
Shanti menetap di sebuah unit pangsapuri 550 kaki persegi di Taman Tun Sardon di Gelugor.
Shanti berkata anjing belaan Nhaveen, sejenis baka campuran Shih Tzu dan Poodle bernama Rambo, masih rindukan mendiang.
Rambo akan berlari ke balkoni dan meraung setiap kali nama Nhaveen disebut dalam perbualan mereka.
“Nhaveen sayangkan binatang. Saya ingat lagi dia merayu saya hentikan motorsikal hanya untuk selamatkan seekor kucing yang cedera di hidung. Dia bawa pulang kucing itu dan jaganya sampai sihat.

“Nhaveen masa kecil sebenarnya mahu jadi seorang doktor haiwan. Tetapi kemudian bila besar, dia lebih sukakan muzik,” katanya.
Adik Nhaveen, Thivashini, 17, dan 2 sepupunya, T Shveta Akshay, 17, dan T Ashwin Akshay, 21, selalu meraikan hari lahir mereka secara bersama kerana mereka semua dilahirkan pada November dan Disember.
“Setiap tahun kami berempat akan berkumpul dan rai hari lahir bersama. Begitulah keadaannya sejak kecil. Tahun ini, saya tak rasa seperti nak raikan hari lahir kerana dia sudah tiada,” kata Shveta.
Shveta akan terbang ke California, Amerika Syarikat minggu. Kerana pembunuhan Nhaveen, beliau berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang jenayah.

Nhaveen sepatutnya mengambil kursus sijil muzik selama 4 bulan di Universiti Limkokwing di Cyberjaya. Bagaimanapun, beliau diserang 2 hari sebelum dia memulakan pengajian.
Ibu saudara Nhaveen, G Kumutha, 37, berkata mendiang merancang memohon biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Perth, Australia.
“Dia lah yang ajak saya apa itu muzik tarian elektronik. Dia mahu jadi terkenal seperti pengarah muzik India, A.R Rahman dan Anirudh Ravhichander.
“Dia selalu cakap ‘Kita jumpa di Perth’,” kata guru sekolah rendah itu.
Keluarga berharap keadilan ditegakkan tanpa tangguh dan mereka yang bertanggungjawab dihukum atas apa yang mereka lakukan kepada Nhaveen.
Empat remaja, termasuk 2 di bawah umur, didakwa atas tuduhan membunuh Nhaveen, pada 9 Jun. Perbicaraan ditetapkan pada 11 Januari.