
Datuk Khairuddin Abu Hassan, yang dipecat sebagai naib pengerusi Umno Batu Kawan pada 2015, berkata seorang ahli hanya perlu mengemaskini yuran keahlian dan mendapatkan jumlah pencalonan secukupnya untuk mencabar mana-mana jawatan majlis tertinggi.
“Resolusi ini tidak boleh mengatasi perlembagaan Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini. Usul Pemuda Umno itu diluluskan perwakilan hari ini.
Pemilihan parti sepatutnya diadakan tahun lepas tetapi ditangguh supaya Umno dapat menumpukan pada kerja pilihan raya yang dijangka diadakan tahun depan. Pemilihan dijangka diadakan selepas keputusan pilihan raya umum ke-14.
Ini bermakna dengan lulusnya usul ini, Datuk Seri Najib Razak tidak akan dicabar sekiranya dicalonkan untuk jawatan presiden bagi penggal baharu. Ini juga bermakna, Datuk Seri Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden, juga tidak akan dicabar sekiranya dicalonkan untuk jawatan itu.
Khairuddin menghentam pimpinan dan perwakilan Umno sebagai penakut dan jahil.
“Ahli-ahli masih mempertahankan Najib. Ini saya amat tak faham. Kemungkinan seluruh institusi umno itu sudah rosak,” katanya.
Beliau berkata mereka sepatutnya mempertahankan hayat parti daripada seorang presiden yang didakwa korup.
“Imej Umno berada di tahap paling buruk kerana faktor Najib Razak. Kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.”
“Para pemimpin dan perwakilan umno semuanya bacul. Mereka takut untuk bercakap tentang kebenaran.”