
Al-Jazeera melaporkan mayat separuh terbakar itu ditemui polis pagi Khamis lalu (waktu tempatan) di tepi jalan di Rajsamand, lebih 300km dari ibu negeri Jaipur.
Menurut polis, mangsa dikenal pasti sebagai Mohammed Afrazul, 48, yang merupakan buruh di bandar berkenaan.
Klip video yang dimuat naik ke YouTube menunjukkan suspek mengheret mangsa ke lokasi terpencil sebelum menyerangnya dengan senjata. Mangsa menjerit meminta tolong sehingga tidak sedarkan diri.
Dalam video itu, penyerang yang dikenal pasti sebagai Shambhu Lal memberi amaran mengenai “cinta jihad”, di mana kumpulan penganut Hindu berhaluan kanan percaya ia adalah konspirasi kumpulan Islam untuk menukar agama wanita Hindu melalui perkahwinan.
“Kamu ahli jihad, ini adalah nasib yang menanti kam. Hentikan ‘cinta jihad’ di India atau kamu akan dapat nasib seperti lelaki ini,” kata penyerang itu dalam bahasa Hindi.
Penyerang itu kemudiannya mencurahkan petrol ke badan mangsa dan membakarnya.
“Ini jenayah kejam. Prima facie tidak kelihatan seperti ia dilakukan manusia biasa,” kata Ketua Polis Rajasthan, OP Galhotra dalam sidang akhbar semalam.
“Siasatan pasukan penyiasat khas membolehkan kami menangkap pembunuh dalam video itu,” katanya sambil menambah siasatan masih di peringkat awal.
Kes ini adalah jenayah paling teruk dalam siri serangan menyasarkan komuniti kasta rendah Hindu dan Islam di India.
Menteri Dalam Negeri Rajasthan, Gulab Chand Kataria “terkejut” dengan video yang kini tersebar di media sosial.
“Ia mengejutkan bagaimana dia membunuh lelaki itu dan merakam videonya.
“Tertuduh sudah ditangkap dan pasukan siasatan khas ditubuhkan. Sesiapa pun akan terganggu dengan video itu,” katanya.