Jawatan presiden, timbalan tidak dipertandingkan, Hishammuddin kekal

Jawatan presiden, timbalan tidak dipertandingkan, Hishammuddin kekal

Usul dan ketetapan itu mendapat sokongan sebulat suara perwakilan Umno.

ahmad-zahid-hamidi-najib-razak-hishamuddin
KUALA LUMPUR: Perwakilan Umno hari ini sebulat suara meluluskan usul Pemuda Umno yang mengusulkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Pemilihan parti sepatutnya diadakan tahun lepas tetapi ditangguh supaya Umno dapat menumpukan pada kerja pilihan raya yang dijangka diadakan tahun depan. Pemilihan dijangka diadakan selepas keputusan pilihan raya umum ke-14.

Ini bermakna dengan lulusnya usul ini, Datuk Seri Najib Razak tidak akan dicabar sekiranya dicalonkan untuk jawatan presiden bagi penggal baharu. Ini juga bermakna, Datuk Seri Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden, juga tidak akan dicabar sekiranya dicalonkan untuk jawatan itu.

Pengerusi Tetap Badruddin Amiruddin meluluskan usul itu di sesi pagi Perhimpunan Agung Umno 2017 hari ini selepas ia disokong sebulat suara oleh para perwakilan. Usul itu dibuat Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin pada Rabu.

Zahid pada sidang media hari ini turut mengumumkan bahawa parti mengambil ketetapan Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan terus menyandang jawatan naib presiden.

“Ertinya, ketiga-tiga pemimpin utama dalam Umno akan berada dalam kepertanggungjawaban yang telah diberikan kepercayaan sebulat suara oleh perwakilan,” kata Zahid di tepian PAU 2017 hari ini.

“Ini adalah satu kaedah di mana kami memikirkan fokus kita harus kepada PRU akan datang dan tidak ada gerak kerja dalam parti bagi menghadapi pemilihan akan datang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.