
Walaupun terkejut, beliau yang dipetik Berita Harian berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi kepercayaan kepadanya.
“Sudah pasti tugas mengendalikan pasukan kebangsaan adalah tanggungjawab besar, jadi memerlukan masa untuk menentukan semula perancangan pasukan ini untuk perlawanan akan datang.
“Saya akan membuat penilaian semula ke atas semua pemain apabila dipanggil untuk aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, Mac depan,” katanya.
Semalam, FAM mengumumkan Tan sebagai pengganti Nelo Vingada yang melepaskan jawatannya selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan Rabu lalu, susulan prestasi buruk Harimau Malaya yang gagal meraih sebarang kemenangan sepanjang tahun ini, sejak beliau mengambil alih tugas itu Mei lalu.
Harimau Malaya bawah kendaliannya hanya mencatat 1 keputusan seri dan 6 kekalahan sepanjang tahun ini.
Selain Vingada, 2 pembantunya, Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa, turut melepaskan jawatan masing-masing selaku penolong jurulatih dan jurulatih kecergasan skuad kebangsaan.
Tan mempunyai pengalaman luas bersama skuad kebangsaan, selain pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Datuk K Rajagobal semasa menjulang Piala AFF Suzuki 2010.
Sebelum menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya, Tan ialah bekas jurulatih pasukan Kedah yang berjaya mengembalikan kegemilangan skuad berkenaan dalam kancah Liga Malaysia.
Di bawah kendaliannya sejak 2014, Kedah berjaya memenangi Piala Malaysia pada 2016.