
Tinjauan FMT mendapati Koridor Penerangan di tingkat 2 memaparkan poster wajah pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kempen anti-DAP.

Poster itu menerangkan bagaimana PH yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azmin Ali menjadi “badut” DAP.

Ia turut memaparkan bagaimana DAP memecahbelahkan pemimpin Melayu dan mencabar hak keistimewaan orang Melayu, termasuk sekeping poster Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditentang pemimpin PH ketika membentangkan Rang Undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355.

Tidak terkecuali gambar Dr Mahathir dan Muhyiddin bertinju sambil disaksikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan perkataan “bagus Melayu screw Melayu”.
Selain memaparkan kelemahan pembangkang, pameran di Koridor Penerangan yang dikendalikan Penerangan Umno yang diterajui Tan Sri Annuar Musa turut memaparkan aktiviti Datuk Seri Najib Razak bersama rakyat sejak dilantik menjadi presiden Umno dan perdana menteri.
Sukarelawan yang ditemui FMT berkata, Koridor Penerangan itu pertama kali diwujudkan untuk memaparkan aktiviti pemimpin Umno dan menepis tohmahan pembangkang.
“Selain gambar poster, kami turut menyediakan tayangan video serta LED gergasi dengan memaparkan segala bentuk penerangan di bawah seliaan Penerangan Umno,” katanya sambil memaklumkan lebih 60 sekretariat terdiri daripada pelajar, sukarelawan dan pegawai Penerangan Umno terbabit dalam persiapan pameran itu.
Beliau berkata, selain pameran itu, sekretariat turut bergerak di seluruh PWTC untuk menjelaskan kebaikan menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).