
“RCI (laporan siasatan tentang kerugian forex) adalah ‘actual loss’ bukannya ‘paper loss’. Saya baca banyak komen dari pembangkang, adalah tidak adil untuk bandingkan RCI dan 1MDB.
“Biarlah polis menjalankan siasatan dan saya harap siasatan itu akan menunjukkan apa yang sebenarnya berlaku kepada negara kita dalam aspek kehilangan kewangan yang begitu besar dalam skandal forex,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Semalam, Peguam Negara Amerika Syarikat Jeff Sessions dilaporkan berkata hampir separuh hasil kutipan korupsi sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.18 bilion) dirampas oleh AS berkaitan dengan tindakan penguatkuasaan 1MDB.
Bahkan, Jeff Sessions turut menyifatkan ia adalah kleptokrasi paling teruk apabila pegawai 1MDB didakwa melakukan pengubahan wang haram lebih AS$4.5 bilion secara keseluruhan menerusi urus niaga haram yang kompleks.
Hari ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perhatian dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas kerugian urus niaga forex berkata kerajaan harus mengadakan satu lagi RCI untuk menyiasat kontroversi 1MDB sekiranya benar-benar mahu menguatkuasakan undang-undang.
“Inilah yang patut diselidik pasal ini sedang berlaku dan mempunyai kesan hari ini. Apa yang berlaku 30 tahun dahulu sudah diselesaikan dan tidak ada kesan terhadap kewangan negara,” kata bekas perdana menteri itu.
RCI yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian urus niaga mata awang asing yang dialami BNM 30 tahun lalu pada 1990-an itu menyimpulkan Dr Mahathir merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu “menyembunyikan fakta dengan sengaja”.
Dalam pemfailan mahkamah di California pada 5 Jun lalu, DoJ mahu menyita aset berjumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) termasuk karya seni, barang kemas, kapal layar mewah dan hak cipta filem dengan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.
Antara aset itu termasuk hak cipta 2 filem komedi “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey dan “Daddy’s Home” lakonan Will Ferrell.
Tindakan itu susulan saman sivil DoJ pada Jun 2016 yang mahu mendapatkan kembali semua aset yang tidak terhad kepada Hotel Park Lane di New York, sebuah hotel mewah di Beverly Hills, kondominium di New York, jet persendirian dan karya seni mahal serta pembiayaan dikaitkan dengan filem arahan Martin Scorsese “The Wolf of Wall Street” lakonan Leonardo DiCaprio.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga tahun lepas, menafikan sebarang salah laku dan namanya dibersihkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.