Bekas presiden Yaman dibunuh selepas ubah haluan sokong Saudi

Bekas presiden Yaman dibunuh selepas ubah haluan sokong Saudi

Klip menunjukkan mayat beliau tersadai selepas konvoinya diserang, beberapa hari selepas berpaling tadah daripada menyokong pemberontak Houthi.

Ali-Abdullah-Saleh
SANAA:
Baru sahaja mengumumkan peralihan sokongan daripada puak Houthi kepada pakatan Arab Saudi, bekas presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh semalam terbunuh dalam serangan ke atas konvoinya.

Sumber pemberontak Houthi berkata pejuangnya menembak roket ke arah sebuah kenderaan berperisai yang membawa Saleh di pinggir ibu negara bergolak Sanaa, sebelum menembaknya.

Sumber dari pihak Saleh mengesahkan pemimpin itu terbunuh dalam serangan ke atas konvoinya.

Klip yang belum disahkan menunjukkan mayat Saleh tersadai dalam selimut. Ia selang beberapa hari selepas beliau menamatkan kerjasama dengan Houthi, selepas 3 tahun bersama-sama melawan pakatan negara Teluk diketuai Riyadh yang cuba mengembalikan kerajaan Yaman sebelum ini.

Dalam ucapan menerusi televisyen, pemimpin Houthi Abdul Malik al-Houthi mengucapkan syabas kepada rakyat Yaman atas apa yang didakwanya kejayaan mereka melawan “konspirasi khianat” oleh kumpulan negara Teluk. Beliau bagaimanapun tidak menyebut pembunuhan Saleh.

Sabtu lalu, Saleh, 75, berkata beliau bersedia memulakan era baharu kerjasama dengan pakatan Arab sambil membidas puak Houthi.

Perang saudara di Yaman, ditambah dengan penglibatan Arab Saudi, kini mencetuskan krisis kemanusiaan, menyebabkan jutaan rakyatnya berdepan kelaparan dan dijangkiti pelbagai penyakit.

Saleh digulingkan pada 2012 susulan kebangkitan dunia Arab, yang menyaksikan beliau tercedera dalam cubaan membunuhnya. Ia kemudian membawa kepada perubahan politik menerusi rundingan Arab Saudi.

Saleh melarikan diri ke Arab Saudi bagi mendapatkan rawatan, sebelum beliau dibenarkan keluarga diraja Saudi pulang ke Yaman. Bagaimanapun, Saleh berpaling tadah apabila memutuskan menyokong Houthi yang menerima sokongan Iran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.