Pecah masuk rumah hakim, kelindan lori dipenjara 5 tahun

Pecah masuk rumah hakim, kelindan lori dipenjara 5 tahun

Tertuduh didakwa memasuki rumah Balia Yusof Wahi melalui tingkap tandas dan mencuri 3 kamera jenama Nikon, Go Pro dan komputer bernilai RM11,300.

Pecah-masuk-rumah-hakim-penjara
KUALA LUMPUR: Seorang bapa 3 anak dipenjara 5 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana memecah masuk rumah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Balia Yusof Wahi dan mencuri barangan bernilai RM11,300.

Ahmad Norfais Ishak, seorang kelindan lori, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan akan dipenjara bermula dari tarikh tangkapan pada 23 Oktober lepas.

Dia didakwa melakukan pecah rumah melalui tingkap tandas dan mencuri 3 buah kamera jenama Nikon, Go Pro dan komputer riba milik Balia Yusof yang bernilai RM11,300 di rumah mangsa pada 6.10 pagi, 22 Oktober lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan jika kesalahan yang dimaksudkan ditentukan sebagai kesalahan mencuri, maka tempoh pemenjaraan boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun.

Tertuduh yang diwakili peguam, Ernie Ahmad merayu supaya dikenakan hukuman penjara paling minimum dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz memohon hukuman setimpal kerana itu adalah kesalahan serius dan harus menjadi pengajaran kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Hasil siasatan mendapati cap jari yang ditemui di tempat kejadian sepadan dengan cap jari tertuduh dan esoknya, tertuduh berjaya ditangkap dan beberapa barang milik mangsa juga ditemui semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.