Lebih 21,000 dalam senarai menunggu penderma organ

Lebih 21,000 dalam senarai menunggu penderma organ

Walaupun bilangan pengikrar derma organ semakin meningkat, ia mewakili hanya 1.3% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia pada ketika ini.

Subramaniam_hospital_600
KUALA LUMPUR: Seramai 21,778 pesakit kronik yang mengalami kegagalan organ tahap akhir, berada dalam senarai menunggu derma organ kebangsaan sehingga 31 Oktober lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam berkata daripada jumlah itu sebahagian besar adalah pesakit buah pinggang, melibatkan 21,759 orang manakala yang lain adalah 8 pesakit hepar, 4 pesakit jantung, 3 pesakit paru-paru dan 4 memerlukan kedua-dua jantung dan paru-paru.

“Bilangan pengikrar derma organ selepas kematian yang mendaftar sehingga 31 Oktober pula seramai 401,242 orang

“Walaupun bilangan pengikrar derma organ semakin meningkat, ia mewakili hanya 1.3% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia pada ketika ini,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Chandra Mohan S Tambirajah yang ingin tahu jumlah pesakit kronik dan jumlah penderma yang mendaftar di Pusat Sumber Transplan Nasional.

Subramaniam berkata pelbagai usaha dalam mempertingkatkan bilangan penderma organ telah dibuat sejak kementerian itu memperkenalkan Pelan Strategik Kempen Kesedaran Pendermaan Organ 2012.

Beliau berkata antaranya ialah menyasarkan golongan muda sebagai sasaran utama bagi memastikan pendermaan dalam jangka masa panjang selain usaha berterusan menangani persepsi kurang tepat dalam kalangan masyarakat dari aspek agama dan budaya berhubung salah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.