Pertubuhan Bajau Sabah pertahan Pandikar dalam isu MA63

Pertubuhan Bajau Sabah pertahan Pandikar dalam isu MA63

Pandikar Amin Mulia hanya mahukan perjuangan menuntut hak Sabah dan Sarawak dilakukan dengan kefahaman, prosedur dan saluran yang betul.

pandikar-usbo
PETALING JAYA:
Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) mempertahankan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam pertikaian mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dengan ahli politik di Sabah dan Sarawak.

Ahli majlis tertinggi pertubuhan itu berkata presiden mereka itu hanya mahukan perjuangan menuntut hak Sabah dan Sarawak dilakukan dengan kefahaman, prosedur dan saluran yang betul.

“Kenyataan presiden bahawa MA1963 tidak lagi relevan kini bukan bererti beliau menganggap perjanjian tersebut tidak sah atau tidak boleh digunapakai langsung tetapi sebaliknya perjuangan ini perlu dilakukan melalui saluran perundangan yang berlandaskan perlembagaan dan juga pelaksanaan melalui kuasa eksekutif.

“Janganlah menggunakan kefahaman yang salah untuk menuntut hak kita seperti mengatakan Sabah dan Sarawak mempunyai taraf sama dengan keseluruhan dengan keseluruhan Semenanjung,” kata USBO dalam kenyataan.

Usbo merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Makin Mojigoh yang meminta pemimpin Sabah dan Sarawak menghormati MA63.

Menurut Borneo Post, Marcus dilaporkan bersetuju dengan pendirian Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg dan pimpinan Sarawak ketika diminta mengulas kelakuan Pandikar mencabar Abang Johari berdebat mengenai MA63.

Usbo berkata terdapat pindaan dalam perlembagaan yang berkaitan dengan beberapa peruntukan dalam syarat asal perjanjian seperti Bahasa Melayu menggantikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Sabah dan Sarawak, pewartaan Islam sebagai agama rasmi Sabah, dan penyerahan bidang kuasa pendidikan kepada kerajaan persekutuan.

“Kesemua pindaan ini telah dilakukan di Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dahulu, dan kemudiannya dibawa kepada kelulusan di Parlimen. Pindaan-pindaan ini yang antara lain menyebabkan Perjanjian Malaysia sudah lagi tidak relevan,” kata mereka.

“Namun begitu, Presiden sebagai anak jati Sabah tetap menghayati aspirasi dan sentimen kenegeriannya,” tambah mereka, dan berkata Pandikar hanya mahu perjuangan hak Sabah dan Sarawak dilakukan dengan cara betul.

Semalam, Pandikar membidas tindakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg menepis cabaran berdebat isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai “paloi” (bodoh).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.