Jangan biarkan Najib sendirian, kata Zahid

Jangan biarkan Najib sendirian, kata Zahid

Timbalan perdana menteri beri jaminan akan mempertahankan dan membantu Perdana Menteri Najib Razak.

ahmad-zahid-hamidi-najib-razak-malaysia
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak harus dibiarkan bersendirian menghadapi serangan pihak tertentu sebaliknya beliau harus dibantu dan disokong oleh semua pihak, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan mempertahankan dan membantu Najib dalam agenda memartabatkan negara.

“Najib tidak harus dibiarkan keseorangan. Beliau diasak, dihenyak, ditembak, hujanan pelbagai isu. Nasib baik beliau tidak hilang fokus kerana darah Tun Razak mengalir kuat dalam tubuhnya.

“Saya ingin ulang jangan biarkan beliau keseorangan. Saya berjanji saya akan terus membantu beliau dalam menterjemahkan komitmen beliau, juga jangan biarkan kami berdua. Kami yakin dibelakang kami ada Majlis Perundingan Melayu (MPM) untuk membantu merealisasikan agenda ini,” kata Zahid ketika berucap merasmikan wisma MPM di ibu negara hari ini.

Zahid dalam ucapannya berkata, walaupun sikap merendah diri amalan yang baik namun tidak seharusnya ia diletakkan ditempat yang tidak sepatutnya.

“Merendahkan diri itu penting tapi mesti pada tempatnya. Zaman telah berlalu kita merendah diri kemudian kita diinjak. Seringkali kita tidak guna tempat yang sesuai untuk merendah diri sebab itu kita dipijak,” katanya lagi.

Zahid turut mengumumkan komitmen membantu MPM membayar sewa bangunan Bina Daulah mereka berjumlah RM2,800 sebulan selama 10 tahun.

Menurutnya, MPM perlu memberikan keutamaan dalam fokus pembangunan bangsa dan tidak diganggu urusan pentadbiran seperti bil utiliti dan sewa bangunan.

“Untuk 10 tahun akan datang biar saya cari jalan tanggung sewa. Di mana saya cari duit ‘halalan toyyiba’ jangan tanya. MPM jangan fikir bagaimana nak cari duit sewa. Jangan risau, saya selesaikan.

“Dalam hal inilah kita harus komited…8 tahun kita berada di sini, kerajaan akan bantu sedaya mungkin,” katanya.

“Dalam MPM kita harus bantu diri kita sendiri. Jangan disebabkan bil air tak dapat bayar kita jadikan satu masalah besar. Itu masalah pentadbiran yang biar ‘orang Bota’ ini selesaikan, agenda kita lebih besar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.