

Dr Tan Ai Mei berkata, walaupun penggunaan perkataan Sepanyol menimbulkan persoalan sama ada teks itu relevan, isu sebenar ialah jika kandungan buku itu relevan untuk pelajar Malaysia.
“Saya mempersoalkan kesesuaian kandungan itu,” katanya kepada FMT.
“Mereka mahu pelajar kita fasih berbahasa Inggeris, tetapi pelajar kita berada di tahap berbeza, menjadikan ia tidak logik.”
Katanya, pelajar tidak bersedia belajar menggunakan buku teks yang kandungannya berbeza sama sekali dengan pengalaman sosio budaya mereka.
“Sukar untuk pelajar menghadam kandungan dan mempelajari bahasa itu pada masa sama. Ini satu halangan kepada pembelajaran berkesan.”
Tan turut mempersoalkan kos buku baharu itu, iaitu RM37 untuk buku teks sekolah rendah dan RM78 untuk buku teks sekolah menengah.
“Ini melibatkan ratusan ribu pelajar di seluruh negara.
“Kementerian berkaitan perlu mengira kos yang dibelanjakan, sama ada ia munasabah.”
Katanya, beliau mendapati banyak kesalahan tatabahasa apabila meneliti buku teks bahasa Inggeris import itu.
Bukut teks yang dipertikaikan itu ialah Super Minds terbitan Cambridge University Press untuk murid sekolah rendah dan Pulse 2 terbitan MacMillan untuk pelajar sekolah menengah.
Ia akan menggantikan buku teks bahasa Inggeris tempatan untuk menyelaras kurikulum sejajar Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) – panduan yang dibangunkan Majlis Eropah bagi mengukur kemahiran bahasa asing.
Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari yang lantang membangkitkan isu itu baru-baru ini berkata, hasil semakan ke atas buku itu menunjukkan penerbit membuatnya khusus untuk pelajar Sepanyol.
Beliau dilaporkan berkata, buku itu “langsung tiada kandungan tempatan” kerana disalin bulat-bulat daripada versi asal dengan konteks British.
Walaupun penyokong buku teks import itu menggalakkan lebih banyak pendedahan global, Tan memberi amaran terhadap penggunaan bahan “100% berbeza” daripada konteks tempatan.
“Ia tidak sesuai untuk pelajar kerana mereka terpaksa mempelajari bahasa, kandungan dan persekitaran berbeza,” katanya sambil menambah cara terbaik ialah mengaitkan bahan pembelajaran baharu dengan konteks tempatan.
Katanya, pelajar kelas atasan mungkin boleh menerima kandungan itu, tetapi pelajar di kawasan pedalaman mungkin menghadapi kesukaran.
“Saya berharap penggunaan buku teks bahasa Inggeris import ini tidak melibatkan keuntungan semata-mata, di mana buku teks sama, termasuk buku kerja dilaksanakan ke atas semua pelajar tanpa mengambil kira kemampuan belajar dan tahap kefasihan bahasa Inggeris pelajar.”
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, “ia sangat ketara” pegawai Kementerian Pendidikan tidak meneliti buku itu.
Walaupun tidak salah menggunakan buku terbitan luar negara, beliau berkata, kandungannya perlu relevan dan wajar serta memenuhi piawaian pengajaran bahasa Inggeris berkualiti.
“Ia agak ketara usaha sewajarnya tidak dilakukan.”