
Akhbar kewangan itu memetik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016 yang mendapati 28% kanak-kanak berumur 12 sehingga 23 bulan di Putrajaya mengalami masalah pertumbuhan terbantut kerana tidak mencapai ketinggian optimum seperti kanak-kanak sebaya.
Berdasarkan sistem ranking Pertubuhan Kesihatan Sedunia, keadaan itu dianggap “kecemasan kesihatan” apabila ia menjejaskan 30% populasi negara.
Dalam kajian pertama Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Lestari PBB yang dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB di New York, Jun lalu, mendedahkan tumbesaran 20.7% kanak-kanak 5 tahun ke bawah di seluruh Malaysia terbantut.
The Edge melaporkan punca utama mungkin mereka kekurangan zat disebabkan tidak mendapat makanan berkhasiat apabila 24.9% keluarga berdepan masalah kewangan.
“Ini bukan tentang seorang kanak-kanak 2 inci lebih rendah (daripada purata rakan sebayanya), tetapi mengenai pertumbuhan kognitif terjejas,” kata Dr Amjad Rabi yang mengetuai pasukan penyelidik Unicef Malaysia.
Katanya, ia mungkin memberi kesan jangka panjang kepada produktiviti negara kerana penerimaan maklumat oleh kanak-kanak terbantut tumbesarannya tidak sebaik rakan sebaya lain.
Timbalan wakil dan pakar kanan dasar sosial di Unicef Malaysia itu berkata, keadaan itu akan menjejaskan produktiviti dan ia diburukkan lagi dengan hakikat Malaysia akan menjadi negara tua pada 2020.
“Dahulu, kita mempunyai ramai kanak-kanak yang akhirnya akan menjadi tenaga buruh. Bagaimanapun, ukuran baharu untuk pembangunan di Malaysia adalah produktiviti, bukannya demografi.”
Katanya, jumlah kanak-kanak mendapat pendidikan formal di Malaysia belum mencapai paras 100% untuk pendaftaran di sekolah menengah yang ditetapkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) bagi negara anggota membangun.
Beliau memetik Kajian Pendapatan Isi Rumah 2015 yang menunjukkan hanya 69% belia Malaysia ke sekolah menengah dan 22% melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi.
“Malaysia mempunyai infrastruktur fizikal dan teknologi maju, tetapi ada risiko jurang pendapatan semakin meluas jika keseluruhan tenaga buruh tidak mempunyai kemahiran sepadan dengannya,” kata Amjad.
Dalam kajian kekurangan dan ketaksamaan kanak-kanak yang dilakukan 3 penyelidik dari Universiti Flinders di Australia selatan dan dibiayai Unicef serta kerajaan Malaysia mendapati kira-kira 15% kanak-kanak di negara ini hidup dalam keluarga miskin berpendapatan 2 kali ganda lebih rendah daripada Indeks Garis Kemiskinan.
Menurut laporan itu, kadar kemiskinan Malaysia meningkat kepada 16.3% berbanding 0.6% kadar kemiskinan mutlak untuk semua isi rumah pada 2014. Lebih teruk apabila kadar kemiskinan relatif bagi kanak-kanak mencecah 21.2% pada 2012.
Selain zaman kanak-kanak, kehamilan, pengangguran dan usia tua juga lebih mudah terdedah kepada kemiskinan.
Amjad berkata, wanita lebih berisiko kerana ramai yang berhenti dan tidak kembali bekerja selepas bersalin disebabkan diskriminasi terhadap pekerja hamil.
Kajian Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pada 2016 menunjukkan kira-kira 40% wanita hamil dilaporkan didiskriminasi majikan.
“Ini termasuk membuatkan kedudukan mereka tidak diperlukan, menafikan kenaikan pangkat, melanjutkan tempoh percubaan, menurunkan pangkat dan memberhentikan mereka,” kata Pegawai Komunikasi WAO, Tan Heang-Lee.
Amjad berkata, masalah kekurangan zat makanan kanak-kanak mungkin berpunca daripada ibu yang tiada masa menyediakan makanan berkhasiat untuk anak dan terpaksa bergantung kepada makanan segera.
Beliau dalam satu kertas penyelidikan Unicef Malaysia berkata, penyelesaiannya bukan untuk terus bergantung kepada pemberian bantuan dan subsidi kepada golongan “miskin”.
Katanya, UN menyokong dasar perlindungan sosial dengan menyediakan penjagaan kesihatan penting kepada semua peringkat umur dan ini akan memanfaatkan kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan penganggur.
Amjad berkata, kerajaan juga boleh membendung kemiskinan dengan memberikan bantuan boleh diagihkan semula kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira pendapatan keluarga.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula bagi menggalakkan rakyat memilih minuman lebih sihat.
Katanya, cukai itu boleh disalurkan untuk bantuan kanak-kanak dan insentif bersalin yang bukan sahaja boleh menggandakan pendapatan kerajaan, tetapi juga cara mudah meraih sokongan rakyat.