Masih ramai rakyat kelaparan walaupun ekonomi cerah, kata Zuraida

Masih ramai rakyat kelaparan walaupun ekonomi cerah, kata Zuraida

Ketua Wanita PKR itu berkata ahli politik Umno tidak faham mengapa rakyat mengikat perut demi kelangsungan hidup kerana mereka tidak tahu keadaan rakyat.

zuraida-1
PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini mempersoalkan gambaran ekonomi Malaysia yang dikatakan cerah menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), mengatakan ia tidak mencerminkan keadaan sebenar rakyat.

Merujuk kepada kajian Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan 15% rakyat Malaysia mengikat perut untuk kelangsungan hidup, beliau berkata ahli politik Umno tidak faham keadaan ini kerana mereka tidak tahu nasib rakyat.

Menurut Bajet 2018, katanya, 7 juta rakyat akan menerima bantuan BR1M.

“Memandangkan semua penerima berumur lebih 21 tahun iaitu umur layak mengundi, BR1M disasarkan kepada 13 juta atau lebih pengundi berdaftar.

“Ini bermakna kira-kira separuh daripada jumlah pengundi kita bergantung kepada BR1M. Jika tidak, ia juga boleh ditafsirkan sebagai 22.5% luar biasa daripada 31 juta penduduk Malaysia yang memperoleh pendapatan di bawah RM4,000 bagi setiap isi rumah, kriteria layak untuk memohon BR1M,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang berkata, pelajar universiti turut mengikat perut kerana mereka tidak mampu.

Beliau berkata kos makanan biasa di kawasan bandar antara RM7 hingga RM10, manakala mi segera berharga RM3.50 secawan.

“Jika pelajar memasak sendiri, mereka memerlukan kira-kira RM300 sebulan untuk kos bahan masakan.

“Walaupun pelajar itu mempunyai biasiswa, mereka masih perlu membayar penginapan dan pengangkutan. Berapa ramai keluarga miskin mampu membelanjakan duit tambahan untuk menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka?” katanya sambil menambah sesetengah pelajar bergantung kepada pek makanan yang disumbangkan.

Isi rumah yang mempunyai anak-anak dan ibu bapa yang sudah tua turut terjejas oleh kos sara hidup, katanya, memetik perbelanjaan seperti yuran sekolah, pakaian, makanan dan kos perubatan tambahan untuk ahli keluarga yang berusia.

“Jika kita menganggap pengangguran yang diberikan kementerian yang berada pada kadar 4%, maka tidak banyak yang perlu dikhuatiri.

“Bagaimanapun, adakah benar hanya 4% yang menganggur?”
Zuraida berkata walaupun trend keluarga dwi-pendapatan semakin meningkat, namun keluarga berpendapatan tunggal masih menjadi kebiasaan.

Beliau menambah data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati zakat dan pejabat daerah mengesahkan terdapat lebih 4% penganggur dan keluarga berpendapatan tunggal bergelut untuk mendapatkan bantuan.

Menjelang PRU14, katanya, pasaran saham akan kelihatan cerah, ringgit akan mengukuh dan bantuan tunai akan diserahkan untuk meningkatkan keyakinan para pengundi.

“Walaupun harga petrol akan turun, dan mungkin juga GST akan dikaji semula. Tetapi, ini tidak mengubah hakikat sebahagian besar rakyat kita miskin dan kelaparan.

“Satu-satunya cara untuk kita, jika ada, adalah membendung rasuah dan mengubah kerajaan pada PRU ini. Jadi mungkin, kita masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan anak-anak kita daripada kelaparan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.