Tony Pua: Mengarut ECRL akan pulang modal dalam 8 tahun

Tony Pua: Mengarut ECRL akan pulang modal dalam 8 tahun

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, pulangan modal itu tidak meliputi kos besar membina ECRL yang dibiayai sepenuhnya oleh hutang.

Tony-Pua-Othman-Aziz-ECRL-can-break-even-in-8-years-1
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menyangkal unjuran kerajaan ke atas projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan “mendapat pulangan modal daripada aspek operasi” selepas 8 tahun beroperasi.

Merujuk jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz di Dewan Rakyat, Selasa lalu, Pua berkata, ia adalah cita-cita tinggi dalam beberapa pertimbangan.

“Pertama, kita perlu mengandaikan kenyataan timbalan menteri ‘mendapat pulangan modal daripada aspek operasi’ itu bermakna ia tidak meliputi kos besar membina ECRL yang dibiayai sepenuhnya oleh hutang.

“Ini bermakna jika ECRL ‘mendapat pulangan modal daripada aspek operasi’, ia masih mengalami kerugian aliran tunai kira-kira RM3.7 bilion setahun daripada pembayaran balik pinjaman,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Setiausaha publisiti DAP itu turut mempertikaikan dakwaan Othman yang kerajaan mengunjurkan pemerolehan hasil sehingga RM2.9 bilion pada 2024.

“Jumlah itu melebihi 4 kali ganda pendapatan semasa KTM Berhad hari ini.

“Unjuran pendapatan tidak masuk akal itu dicapai dengan unjuran tidak munasabah kargo yang akan diangkut ECRL.

“Seperti dinyatakan pakar ekonomi, KS Jomo sebelum ini, ECRL dijangka mengangkut 60 juta tan kargo setiap tahun menjelang 2032, walaupun pengangkutan kargo sedia ada KTM hanya 6 juta tan bagi keseluruhan rangkaian rel sedia ada dari Padang Besar ke Johor Bahru,” katanya.

Beliau bingung bagaimana ECRL menjangkakan jumlah kargo 10 kali ganda lebih banyak daripada yang diangkut di pantai barat Semenanjung Malaysia yang sudah matang dan pesat membangun?

Pua menyeru kerajaan berhenti “memperdaya rakyat dengan khayalan”.

“Kerajaan Barisan Nasional mesti mula memberikan data, analisis dan kajian untuk menyokong dakwaan liar dan tidak masuk akal itu. Juga, siapa yang akan bertanggungjawab jika ECRL gagal mencapai unjuran itu?

“Adakah timbalan menteri akan bertanggungjawab dengan meletak jawatan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengilhamkan ECRL dan memberi kontrak kepada China Communications Construction Company (CCCC) tanpa sebarang tender?” katanya merujuk projek bernilai RM55 bilion itu.

“Rakyat mempunyai hak untuk tahu butiran itu kerana anak dan cucu kita yang perlu menanggung beban hutang kerajaan sekarang jika projek itu gagal mencapai sasaran tingginya.”

ECRL akan ‘break even’ pada 2032, kata Putrajaya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.