‘Tiada permit untuk hotel di Taiping jika larang pekerja bertudung’

‘Tiada permit untuk hotel di Taiping jika larang pekerja bertudung’

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Abd Rahim Md Ariff berkata, pekerja hotel lelaki Sikh juga perlu dibenarkan memakai turban di tempat kerja.

Abd-Rahim-Md-Ariff-taiping-hotel
PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan mengenakan syarat tambah kepada pengusaha hotel untuk tidak melarang pekerja wanitanya bertudung di tempat kerja, dalam proses meluluskan permit mereka.

Yang Dipertua MPT, Datuk Abd Rahim Md Ariff dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, pihaknya melalui mesyuarat bulanan meluluskan syarat tambahan itu selepas ada hotel melaksanakan larangan pemakaian tudung ke atas kakitangan wanita di bahagian khidmat pelanggan.

Selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan MPT semalam, Rahim berkata, semua kaum ada agama dan kepercayaan masing-masing, begitu juga dengan pekerja lelaki Sikh yang perlu dibenarkan memakai turban di tempat kerja.

Katanya, disebabkan pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan permit kepada pengusaha hotel, jadi MPT berhak membuat keputusan itu.

Baru-baru ini, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dalam suratnya kepada media mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam di bahagian perkhidmatan pelanggan.

Sehubungan itu, UNI-MLC menggesa Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot menangani isu diskriminasi ke atas pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung mereka.

Persatuan Hotel Malaysia bagaimanapun mempertahankan larangan itu. Langkah itu dikatakan sebahagian dasar antarabangsa, bukannya diskriminasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.