
Doan, 28, bukan sahaja tidak mengambil peluang itu malah tidak menunjukkan sebarang rasa khuatir ketika menyerahkan baju kemeja T yang tertera perkataan ”LOL” dan gaun itu kepada pegawai polis, 2 hari selepas kejadian serangan itu berlaku.
Pegawai Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ASP Nasrol Sain Hamzah, 38, bersetuju dengan cadangan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan, mengenai pakaian itu juga didapati tidak disembunyikan di dalam bilik hotel Sky Star, Sepang di mana tertuduh menginap ketika diserbu polis.
Beliau memberi keterangan pada hari ke-22 perbicaraan kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama 4 yang masih bebas membunuh Jong Nam, 45, di Balai Pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9.00 pagi, 13 Februari lalu.
Saksi pendakwaan ke-24 itu turut bersetuju dengan cadangan Hisyam yang anak guamnya mempunyai peluang untuk memasukkan pakaian itu ke dalam beg plastik dan membuangnya di mana-mana sahaja.
Hisyam: Kamu tahu atau tidak Doan memakai kemeja T yang tertera perkataan ”LOL” sehingga jam 5.00 atau 6.00 petang 13 Februari lalu iaitu pada hari Jong Nam diserang?
Nasrol: Tidak tahu.
Hisyam: Betul atau tidak ketika menemu bual Doan dia ada memberitahu kamu, dia datang ke Malaysia untuk membuat penggambaran video lucu (prank video).
Nasrol : Betul.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa tertuduh (Doan) menjalani dua penggambaran video lucu iaitu pada hari kejadian dan 2 hari selepas itu di klia2.
Kepada soalan peguam Salim Bashir yang turut mewakili Doan, saksi itu berkata beliau tidak pasti sama ada Doan tidak melupuskan apa-apa barang sedang dicari polis.
Nasrol bagaimanapun bersetuju dengan cadangan peguam itu yang Doan menyewa bilik 401 di Hotel Sky Star pada 13 Februari hingga 15 Februari lepas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung 22 Januari tahun depan.